Bagaimana pembatalan EIA PSR beri kemenangan kepada nelayan?

- Advertisement -

ISU PSR adalah sinonim dengan Pulau Pinang. Walaupun telah mendapat publisiti peringkat nasional, namun masih ramai yang kabur mengenai isu ini. Saya tak berhajat untuk menulis secara terperinci daripada awal berkenaan isu PSR ini. Isu PSR ini adalah libat urus saya sejak 2018, 3 tahun punya cerita boleh buat beberapa siri buku.

- Advertisement -

Cuma saya ingin jelaskan perkembangan terkini isu ini secara mudah supaya dapat difahami oleh orang yang mungkin baru mengetahui isu ini, pada hari ini.

4 perkara penting perlu saya jelaskan iaitu:

1. Penang South Reclaimation (PSR) dan Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang (RSNPP).

2. Environmental Impact Assessment (EIA) dan RSN.

3. Lembaga Rayuan Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 dan Rayuan Nelayan.

4. Bagaimana Rayuan Nelayan berjaya batalkan kelulusan EIA PSR? 

1. PSR dan RSNPP.

PSR adalah satu projek tambakan laut 3 pulau yang berkeluasan 4,500 ekar (1,800 hektar) di Selatan Pulau Pinang.

Projek asalnya bertujuan untuk membiayai projek Penang Transport Masterplan – PTMP (Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang). Namun, tujuan asal PSR akhirnya kelihatan semakin melencong daripada tujuan asal.

Sebagaimana PTMP juga melencong tujuan asalnya sejak PSR dimasukkan ke dalam pakej PTMP. Pemegang kepentingan utama dalam PSR adalah Gamuda Berhad, Loh Phoy Yen dan Ideal Property yang membentuk satu Konsortium Pemaju South Reclaimation Scheme (Konsortium SRS).

Begitulah sifatnya cadangan pembangunan di Negeri Pulau Pinang ini yang acap kali melencong daripada tujuan asal. Melencong-lencong orang Penang kata.

Tak nampak profesional langsung dan sangat kelihatan ada kepentingan politik. Kenyataan pemimpin politik yang melobi projek PTMP dan PSR ini sangat berbelit-belit.

Kewujudan 3 pulau PSR dalam Rancangan Struktur Negeri (RSN) Pulau Pinang hanya diperkenankan pada Ogos 2019 oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang pada ketika itu.

Selepas tarikh tersebut barulah PSR diperakui secara sah termaktub dalam RSN Pulau Pinang 2030 (RSNPP2030) sebagai dokumen rancangan pembangunan negeri.

2. Environmental Impact Assessment (EIA) dan RSN.

EIA atau dalam Bahasa Malaysia disebut Penilaian Impak Alam Sekitar seperti termaktub dalam Seksyen 34A, Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974.

Bagi pelaksanaan sesuatu projek tebus guna tanah (tambakan laut) melebihi keluasan 50 hektar, laporan EIA perlu disediakan oleh pencadang atau pemaju projek. 

EIA sangat penting untuk mengawal, mencegah atau mengurangkan kesan alam sekitar dengan mitigasi yang dibenarkan oleh Jabatan Alam Sekitar.

Dalam perincian Seksyen 34A (4), kelulusan EIA tertakluk pada dokumen Rancangan Tempatan (RT) atau Rancangan Struktur Negeri (RSN) bagi peringkat negeri. Ini dijelaskan dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Seksyen 34A (4)(a);

“If the Director General, on examining the report (which refers to the EIA) and after making such inquiries as he considers necessary, is of the opinion that 

“(a) the report is not in accordance with the development plan or physical plan (which can be refers to RSN or RT) approved by the relevant approving authority…

“he shall not approve the report, giving reasons for not approving, and shall inform the person and the relevant approving authority accordingly.”

Terjemahan: 

“Jika Ketua Pengarah (JAS), ketika memeriksa laporan (merujuk pada laporan EIA) dan setelah membuat pertanyaan yang dia anggap perlu, berpendapat bahawa

“(a) laporan tersebut tidak sesuai dengan rancangan pembangunan atau rancangan fizikal (merujuk pada RSN atau RT) yang diluluskan oleh pihak berkuasa dalam memberi kelulusan yang berkaitan…

“dia tidak seharusnya akan menyetujui laporan itu, dia harus memberikan alasan untuk tidak meluluskannya, dan harus memberitahu orang itu dan pihak berkuasa yang berkenaan sewajarnya. “

3. Lembaga Rayuan AKAS 1974 dan Rayuan Nelayan.

Lembaga Rayuan dalam isu PSR selalu dikelirukan dengan mahkamah rayuan oleh ramai pihak.

Di sini terlebih dahulu kita perlu fahami bahawa Lembaga Rayuan seperti termaktub dalam AKAS 1974 Seksyen 35 hanya diwujudkan berdasarkan permintaan yang dibuat oleh pihak tertentu yang berkaitan, dengan syarat-syarat tertentu.

Dalam kes PSR ini Haji Zakaria mewakili 185 nelayan Sungai Batu, Pulau Pinang tidak berpuas hati, justeru beliau memfailkan rayuan untuk mencabar keputusan Ketua Pengarah (KP) Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang meluluskan EIA PSR pada 25 Jun 2019. 

Lembaga Rayuan AKAS 1974 bagi kes rayuan ini diadili oleh 3 panel Lembaga Rayuan yang berkredibiliti iaitu;

1. Hakim Puan Rozina Ayob (Pengerusi) 
2. Prof. Dato’ Dr. Mazlin Bin Mokhtar dan
3. Prof. Madya Dr. Ramdzani Bin Abdullah 

Haji Zakaria sebagai perayu diwakili oleh peguam beliau iaitu Meena Raman (Penasihat guaman utama), Jessica Binwani, Theiva Lingam dan MS Kumaari. Manakala peguam bagi KP JAS (responden) ialah Peguam Persekutuan Puan Nurliyana binti R Azmi .

4. Bagaimana rayuan batalkan kelulusan EIA PSR ? 

Bagi kes rayuan ini Lembaga Rayuan telah mempertimbangkan isu-isu berikut:

a. Adakah wajib bagi KP JAS ketika mempertimbangkan kelulusan laporan EIA untuk memastikan bahawa ia mengikut pelan pembangunan yang diluluskan?

b. Adakah EIA pada masa kelulusan melanggar Pelan Struktur Pulau Pinang 2020?

c. Adakah keputusan kelulusan draf RSNPP2030 oleh Jawatankuasa Perancangan Negeri pada 14 Mac 2019 yang dirujuk oleh JAS itu cukup untuk KP memberikan kelulusannya? 

Pada hari pengumuman keputusan (8 September 2021) oleh Lembaga Rayuan yang dipengerusikan oleh Hakim menyatakan;

a. KP JAS adalah wajib mematuhi Seksyen 34A (4)(a) AKAS 1974 dalam meluluskan laporan EIA. 

b. Kelulusan EIA PSR adalah ‘luar bidang kuasa’ (ultra vires) seperti termaktub dalam Seksyen 34A (4)(a) AKAS 1974. Maka keputusan KP JAS adalah tidak sah, dan oleh itu dibatalkan (null and void).

c. Draf RSNPP2030 yang diluluskan oleh Jawatankuasa Perancangan Negeri yang dirujuk oleh responden (JAS) tidak untuk tujuan ‘Seksyen 34A (4)(a) AKAS 1974’ . 

Draf RSNPP2030 bukanlah rancangan pembangunan bagi maksud Seksyen 34A (4)(a). Ia masih berstatus draf RSN kerana ia belum diperkenankan oleh Pihak Berkuasa Negeri (iaitu TYT – Gabenor) seperti yang diwajibkan di bawah Seksyen 10 (6) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, supaya draf tersebut menjadi efektif dan berkuatkuasa mengikut undang-undang.

S.10(6)APBD 1976 menyatakan; 

“Setelah meluluskan draf rancangan struktur itu, Jawatankuasa hendaklah mengemukakan kepada 

Pihak Berkuasa Negeri untuk mendapatkan persetujuan Pihak Berkuasa Negeri bagi rancangan itu, dan 

setelah persetujuan diberikan, rancangan itu hendaklah berkuat kuasa.”

Selain itu, untuk rujukan, Tuan Yang Terutama (Gabenor) Pulau Pinang pada waktu itu memberikan persetujuannya kepada RSNPP2030 pada 28 Ogos 2019, dan RSNPP2030 diterbitkan dalam warta pada 24 Oktober 2019.

Sedangkan kelulusan EIA oleh KP JAS pada 25 Jun 2019. Kelulusan EIA PSR ini telah dibuat mendahului kelulusan RSNPP2030 oleh TYT. 

Oleh yang demikian , Lembaga Rayuan menyimpulkan bahawa kelulusan EIA PSR boleh KP JAS (responden) adalah pra-matang. Ini kerana RSN yang relevan pada masa tersebut adalah RSNPP2020 yang tidak membenarkan tebus guna untuk tambakan laut Projek PSR. 

Selain itu, Lembaga Rayuan juga telah melihat sama ada mereka mempunyai bidang kuasa untuk 

menyembuhkan kecacatan ini, iaitu dengan memberi pertimbangan kelulusan EIA bagi pihak KP JAS kerana pada ketika ini RSNPP2030 telah lulus dan berkuatkuasa.

Akhirnya, pihak Lembaga Rayuan menyimpulkan bahawa Seksyen. 35 (2) AKAS 1974 harus dibaca bersama dengan Peraturan Mahkamah 2012.

Lembaga Rayuan juga berpendapat bahawa mereka tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyembuhkan kecacatan tersebut iaitu meluluskan EIA bagi pihak KP JAS.

Oleh itu akhirnya secara muktamad, bantahan awal oleh perayu, Tuan Haji Zakaria Ismail telah benarkan dan kelulusan dari KP JAS untuk EIA PSR tetap diketepikan kerana ia adalah luar bidang kuasa (ultra vires), dan batal (null and void) mengikut S.34A (4) (a) AKAS 1974.

Di samping itu, Puan Meena Raman, Ketua Peguam Perayu bagi kes ini mengungkap beberapa kesimpulan penting untuk difahami;

1. Keputusan ini adalah sangat penting kerana ia bukan sahaja penting untuk kes PSR tetapi semua kelulusan EIA oleh JAS.

2. Keputusan Lembaga Rayuan bagi kes ini memberi mesej bahawa adalah paling penting untuk kita memahami bagaimana bidang kuasa Ketua Pengarah JAS membuat keputusan EIA berdasarkan Seksyen 34A(4)(a) AKAS 1974. 

3. KP JAS mesti membuat keputusan bagi memastikan bahawa projek-projek di mana EIA diperlukan, adalah mengikut rancangan struktur atau rancangan tempatan yang berkuatkuasa secara sah mengikut undang-undang.

Jadi begitulah kisahnya bagaimana keadaan dan punca EIA PSR dibatalkan. KP JAS secara tidak sah meluluskannya EIA PSR pada 25 Jun 2019. Titik! 

Hari ini, kebenaran telah ditegakkan. Hidup Nelayan! Untuk negeri kita, akhirnya kita menang! 

ZIKRULLAH ISMAIL 
Pengerusi Pertubuhan Lestari Khazanah Alam Pulau Pinang (LEKAS) 
Bukit Jambul, Pulau Pinang
10 September 2021 – HARAKAHDAILY 10/9/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100011176928169/posts/1442778482771369/

- Advertisement -