Almarhum Ustaz Dr Abu Bakar, Pengarah PASTI Malaysia Pertama

- Advertisement -

PERUTUSAN TAKZIAH
PUSAT ASUHAN TUNAS ISLAM (PASTI) MALAYSIA

- Advertisement -

Seluruh kepimpinan dan ahli PAS menerima berita yang menyayat hati berhubung perkhabaran telah kembali kerahmatullah Almarhum Ustaz Dr Haji Abu Bakar Abdullah pada malam hari Jumaat di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu.

Pemergian Almarhum turut dirasai oleh warga PASTI seluruh negara apatah lagi beliau merupakan mantan Pengarah PASTI Malaysia yang pertama pada tahun 1988 semasa kepimpinan Dewan Pemuda PAS Pusat diterajui oleh Al Fadhil Ayahanda Ustaz Halim Arshad.

Mengikut dalam arkib dan simpanan lipatan sejarah PASTI, pada 6 Mei 1988 sebuah unit yang dinamakan Jabatan Pendidikan Prasekolah Dewan Pemuda PAS Pusat telah ditubuhkan dengan keputusan melantik Almarhum Ustaz Abu Bakar Abdullah meneraui Jabatan PASTI dan dibantu oleh Cikgu Noh Ahmad dan Ishak Ismail.

Dewan Pemuda PAS Pusat pada tarikh tersebut juga telah bersetuju menerima PASTI sebagai nama rasmi semua institusi pendidikan prasekolah milik PAS di seluruh negara. Semenjak itu, TASKI milik PAS mulai dikenali secara rasmi sebagai Pusat Asuhan Tunas Islam atau lebih dikenali sebagai PASTI.

Pada tanggal 18 Mei 1988 Almarhum Ustaz Abu Bakar Abdullah dilantik sebagai Pengarah Jabatan PASTI Pusat yang pertama oleh Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Pusat yang diterajui oleh Ayahanda Ustaz Halim Arshad.

Sebagai individu yang diberi amanah menerajui PASTI buat kali pertama, sudah tentu lautan usaha telah dilaksanakan, pelbagai “semak samun” perjalanan ditebas bagi membugar denai buat laluan mudah generasi mendatang. Kini, hasil antara usaha Almarhum, PASTI terus menjadi aset dan nadi perjuangan serta pilihan utama rakyat Malaysia seluruh negara.

Semoga Allah SWT merahmati Almarhum, mengampuni segala dosa dan ditempatkan bersama para solihin. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

US. SYARHAN HUMAIZI HALIM
Ketua Pengarah PASTI Malaysia
03 Safar 1443H | 10 September 2021 – HARAKAHDAILY 10/9/2021

- Advertisement -