AKIFI mantapkan pembinaan roh perjuangan

- Advertisement -

KUALA KRAU: Lajnah Tarbiyah dan Pengkaderan Dewan Muslimat PAS Kawasan Kuala Krau telah mengadakan majlis Munajat AKIFI kali kedua secara dalam talian pada petang kelmarin.

Program yang berlangsung sekitar dua itu dikendalikan Ahli Jawatankuasa Lajnah, Faezah Nazri, sementara munajat dipimpin sendiri Pengerusi Lajnah, Norhazrina Mat Isa.

- Advertisement -

Seramai 48 ahli Muslimat PAS hadir ke program ini merangkumi Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat Kuala Krau dan Muslimat dari setiap PAS Cawangan mewakili tiga DUN dalam kawasan ini.

Pengisian turut diserikan dengan taujihat daripada Timbalan Ketua Muslimat PAS Negeri Pahang, Ustazah Hamidah Daud merangkap Pengerusi Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan Muslimat PAS Pahang.

Ustazah Hamidah dalam harapannya menyarankan agar selepas ini munajat turut dibuka kepada umum dan tidak hanya tertumpu kepada ahli PAS sahaja dengan objektif berbeza iaitu membina ukhuwah.

Namun katanya, dalam membina hubungan dakwah antara ahli PAS dengan masyarakat setempat, tetapi matlamat mengingati Allah sepanjang masa kekal menjadi keutamaan dalam membina keteguhan iman, ibadah yang sahih, berakhlak dan berdaya saing.

“Mereka adalah orang yang mengingati Allah sambil berdiri, duduk, atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan mengenai penciptaan langit dan bumi lalu berkata, “Ya Tuhan kami tiadalah Engkau menciptakan ini sia-sia. Maha suci Engkau, maka peliharalah kami dari seksa neraka”,” ujar beliau memetik ayat 191 surah ali-Imran.

Ustazah Hamidah juga menjelaskan mengenai AKIFI iaitu Alim, Haraki dan Sufi secara terperinci, bahawa dengan adanya ilmu akan dapat mendekatkan diri kepada Allah dan dapat melakukan ibadah mengikut sunnah serta menjauhi bid’ah.

Adapun Haraki pula jelasnya, ialah memenuhi tuntutan jamaah sepertimana yang tersebut dalam surah as-Saff ayat 4 untuk menyahut tawaran Allah berjihad dengan harta, jiwa, tenaga dan masa semata-mata mencari redha Allah.

Sufi pula terangnya, ialah dalaman atau kerohanian yang kuat dengan perbanyakkan ibadah sunat, menjauhi larangan Allah dan perkara mendatangkan dosa dan maksiat.

Ustazah Hamidah juga mengajak semua Muslimat mengamati 12 sifat Ansarullah yang termaktub dalam surah al-Furqan ayat 63-67 antara sifatnya ialah tawadhuk, lemah lembut, melakukan qiyamullail, suka berinfak dan sebagainya. – HARAKAHDAILY 10/9/2021

- Advertisement -