Ajaran sesat: Jangan bergantung kepada ulama sahaja

Dr Nik Muhammad Zawawi

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Ajaran sesat berlaku sepanjang zaman, dan menjadi tugas semua pihak untuk membendung penularannya, bukan semata-mata bergantung kepada ulama, kata Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP), Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Menurutnya, orang Islam perlu sensitif dengan sebarang ideologi yang tersebar. Sekiranya terdapat kekeliruan mengenai sesuatu isu, rakyat perlu merujuk kepada pakar.

Advertisement

“Ajaran sesat dalam sejarah, ia berlaku sepanjang zaman. Apabila sentiasa ada, menjadi tugas dan tanggungjawab semua, bukan ulama sahaja.

“Kita kena sensitif dengan perkara sebegini, dan masyarakat umum, setiap benda, supaya tidak sesat, dia perlu merujuk kepada pakar,” katanya ketika ditemui HarakahDaily di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau yang baru dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) ll  itu memuji sensitiviti umat Islam di Malaysia yang peka terhadap sebarang perilaku atau ideologi pelik yang cuba untuk disebarkan pihak luar.

“Alhamdulillah, dalam negara kita ini, ajaran sesat tidak (muncul) jadi (isu) besar. Terima kasih banyak kepada pejabat-pejabat agama, majlis-majlis agama dan rakyat kita secara umum.

“(Masyarakat) kita ini sensitif apabila sebut benda pelik sikit. Tetapi kadang-kadang ada juga perkara yang agak ganjil dan baharu, yang sensitif. Sedangkan, ia  sebenarnya adalah ilmu, (itu pun) kita sensitif juga. Itu (ialah) kerana kejahilan kita.

“Alhamdulillah, kita sensitif sehingga menyebabkan apa jua ajaran sesat, tidak akan dapat berkembang dan bertapak di Malaysia, ia akan hancur dan ada tindakan diambil,” ujarnya.

Berkongsi pengalamannya, kata Ahli Parlimen Pasir Puteh itu, ketika Ayah Pin cuba membawa ajaran sesat di Malaysia, beliau antara individu yang menyertai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) merobohkan markas Ayah Pin yang berpusat di Kampung Batu 13, Hulu Besut, Terengganu sekitar tahun 2005.

Menurutnya lagi, pengikut Ayah Pin bukan dalam kalangan orang biasa sahaja, bahkan pegawai tinggi kerajaan dan orang-orang kaya juga terpengaruh dengan ajaran dibawa Ayah Pin.

Berdasarkan pemerhatiannya, kata Dr Nik Zawawi, kemunculan ajaran sesat berkait rapat dengan kesedaran Islam.

“Sekiranya masyarakat di sesuatu tempat itu mempunyai kesedaran Islam yang tinggi, mustahil untuk ajaran sesat berjaya membawa dakyah mereka. Ini kerana kebiasaannya, ajaran sesat menguasai kumpulan manusia yang kurang ilmu agama,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/9/2021