Ahli Umno dapat manfaat projek kebajikan di Kelantan

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU: Selepas Piagam Muafakat Nasional (MN) ditandatangani pada 14 September 2019, hubungan PAS dan Umno di Kelantan semakin dipereratkan.

Sehingga sekarang hubungan itu diperluaskan lagi sehingga ke peringkat akar umbi.

Setiausaha Umno Bahagian Ketereh Ahmad Termizi Musa berkata, ahli dan penyokong Umno sekarang turut mendaftar program di bawah kelolaan kerajaan negeri termasuk Skim Khairat Kifaalah, bantuan beras al It’am, bantuan armalah, anak yatim dan sebagainya.

- Advertisement -

Katanya, skim bantuan itu diperluaskan dalam kalangan ahli-ahli dan penyokong Umno di Ketereh.

“Pemimpin PAS Ketereh meminta kami membuat hebahan dalam kalangan ahli Umno untuk membuat pendaftaran bagi menerima skim bantuan tersebut.

“Dalam soal vaksin pula, baru-baru ini diadakan di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) dengan kerjasama pemimpin PAS dengan menyediakan sukarelawan Jabatan Amal Ketereh,” katanya di sini.

Baru-baru ini Timbalan Presiden PAS Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berharap gandingan tiga parti Melayu terbesar di negara ini iaitu PAS, Umno dan Bersatu dikekalkan sehingga Pilihan Raya Umum ke-15.

Ahmad Termizi juga berkata, sehingga sekarang pelbagai aktiviti dan program membabitkan pemimpin PAS dan Umno Ketereh diadakan.

Menurutnya Umno Ketereh mendukung kuat semangat terkandung dalam Muafakat Nasional, dan sekarang diperluaskan lagi di peringkat akar umbi.

“Kita menyokong penubuhan MN, di mana banyak program kita sekarang melibatkan kerjasama PAS dan Umno, memberi bantuan dan sumbangan kepada rakyat yang terjejas dengan penularan wabak Covid-19 di Ketereh.

“Kita memang mewujudkan rangkaian dan persefahaman antara kedua-dua parti. Kita memberi bantuan secara bersama melibatkan pemimpin PAS kawasan, cawangan dan penghulu,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/9/2021

- Advertisement -