Terharu tengok anggota Amal bekerja tanpa upah

Oleh SARINA ISMAIL

YAN: Kejadian rempuhan kepala air di Gunung Jerai 18 Ogos lalu masih lagi sukar dilupakan, terutamanya mereka yang terbabit secara langsung dengan tragedi tersebut.

Paling terharu bagi mereka kehadiran kumpulan anak-anak muda berbaju merah membersih dan mencuci premis mereka tanpa dikenakan sebarang bayaran.

Pemilik Kem Kenari Nature Park, Jaafar Man berkata, beliau terharu dengan kehadiran anggota Jabatan Amal yang sanggup membersih dan mencuci premisnya terjejas teruk dilanda banjir lumpur.

Advertisement

“Saya hampir putus asa melihat keadaan premis saya yang diselaputi selut tebal, namun Allah menghantar bantuan tanpa diduga walaupun saya tidak mengenali mereka,” katanya ketika dihubungi di sini.

Pada kejadian petang 18 Ogos lepas, hujan yang ekstrem di Gunung Jerai menyebabkan berlaku rempuhan kepala air sehingga menjejaskan banyak rumah penduduk, chalet dan premis kerajaan di sekitar Yan dan Kuala Muda.

Berikutan kejadian tersebut Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob ketika melawat Yan mengumum peruntukan sebanyak RM75 juta bagi memulihkan semula lokasi terbabit.

Jaafar berkata, tiada parti lain di Malaysia yang mempunyai kumpulan anak-anak muda sanggup berkhidmat kepada masyarakat tanpa sebarang upah.

Katanya juga ada pihak lain yang datang tawarkan bantuan, namun akhirnya menarik diri tidak sanggup kerana keadaan premisnya begitu teruk.

“Terima kasih banyak kepada Dewan Ulama PAS Kedah yang membawa anggota Jabatan Amal membantu membersihkan premis saya.

“Saya melihat kesungguhan dan keikhlasan mereka. Buat kerja tanpa minta upah termasuk makan minum,” katanya.

Pada kejadian banjir lumpur dan arus deras itu menyebabkan kerosakan hampir 60 peratus kem miliknya, manakala peralatan lain 100 peratus rosak.

“Ia turut membabitkan asrama dan premis pelajar tahfiz yang beroperasi di kem saya sejak tiga tahun lalu,” katanya.

Oleh mana-mana dermawan yang berminat untuk membantu membangun semula kem tersebut boleh menyumbang melalui Bank Rakyat – akaun 110651000581 atas nama Kenari Pintar Enterprise atau hubunginya di talian 013-4088949

[Ikuti berita lanjut dalam Harakah edisi cetak]