Politik dan konsep ketuhanan jangan terpisah

- Advertisement -

KADANGKALA politik selalu dianggap kotor dan orang politik dipandang serong. Tidak dinafikan tanggapan tersebut adakalanya berpunca daripada orang politik sendiri ataupun kerana ideologi politik yang diamalkan.

- Advertisement -

Saya meletakkan keyakinan seandainya orang politik memainkan peranan sebaiknya, tanggapan seumpama itu boleh jadi sebaliknya. Saya selitkan di sini firman Allah S.W.T dalam surah Az-Zariyat ayat 56 yang bermaksud:

“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku.”

(Az-Zariyat: 56)

Terjemahan ayat ini agak mudah difahami. Kejadian jin dan manusia ada tujuan iaitu beribadah dan tunduk kepada Allah. Orang politik juga mesti berpegang dengan prinsip yang sama. Selain daripada niat yang baik untuk membantu masyarakat, semua tindakan dan peranan orang politik mesti bersandar kepada konsep ketuhanan.

Perkara teras adalah melaksanakan tugas kepimpinan dengan jujur dan penuh integriti. Ketika bercakap jangan berbohong. Ketika berjanji jangan dimungkiri. Jangan sesekali khianati amanah kepimpinan yang telah diberikan oleh rakyat.

Tugas kepimpinan bukannya untuk bersuka ria atau diraikan dengan pesta-pestaan tetapi ia mesti dilaksanakan dengan sepenuh jiwa tanpa mengira penat dan lelah.

Sayidina Umar al-Khattab sebagai contoh, turun ke lorong dan kampung di Madinah. Memerhati dan menjenguk rakyat secara dekat. Menyantuni dan membantu rakyat dengan cepat.

Selain berhubung dengan manusia, ahli politik jangan sesekali lupa hubungan dengan Allah. Siapa pun kita, apapun darjat dan kedudukan di dunia, Allah sesekali jangan dilupa.

Ahli politik dan sesiapa sahaja, tunduklah kepada Allah. Patuhlah kepada semua suruhan-Nya. Baca dan amalkan kandungan kitab al-Quran. Jadikan ia sebagai panduan dalam seluruh kehidupan. Nescaya akan selamat dan sejahtera di dunia dan akhirat.

YB DR. ALIAKBAR GULASAN
Setiausaha PAS Sabah – HARAKAHDAILY 9/9/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/105687511311239/posts/314873507059304/

- Advertisement -