Nabi sedia dibalas terhadap diri baginda

- Advertisement -

NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 9)

SIFAT yang hebat berada pada diri seorang yang hebat. Sifat itu pula bukan dibuat-buat. Di antara sifat Nabi SAW yang hebat ialah Baginda bersedia menerima balasan, kesan dari tindakannya, walaupun Baginda tidak bersalah dan dilihat ‘bersalah’ oleh orang yang terlibat.

Di sini saya bawakan tiga kisah mengenainya. Pertama, kisah yang disebut dalam kitab Al-Musnad Imam Ahmad bahawa Nabi SAW berada di rumah Ummu Salamah. Baginda memanggil budak suruhan Ummu Salamah beberapa kali. Panggilan Nabi tidak dijawab hingga kelihatan rasa marah di wajahnya. Ummu Salamah keluar mencari budak suruhan itu, lalu didapatinya sedang bermain.

- Advertisement -

Ummu Salamah berkata: Aku lihat kamu bermain di sini, sedangkan Rasulullah panggil kamu?

Budak suruhan itu menemui Nabi SAW, lalu berkata: Demi Tuhan yang membangkitkanmu dengan sebenar! Aku tidak dengar.

Pada tangan Nabi SAW ada kayu sugi. Baginda bersabda:

لولا خشية القود لأوجعتك بهذا السواك

“Kalau tidak kerana takut dibalas, tentu aku cucuk kayu sugi ini kepadamu.”

Daripada kisah ini, kita belajar beberapa perkara:

1. Nabi SAW mempunyai beberapa orang isteri, antaranya Ummu Salamah. Baginda berlaku adil kepada semuanya.

2. Diharuskan mengambil orang lain untuk bekerja dengan kita bagi membuat tugasan tertentu.

3. Marah adalah sifat semulajadi manusia. Yang penting ialah mengawal sifat itu.

4. Apabila Nabi memanggil, wajib dijawab. Namun, alasan budak suruhan itu ialah kerana panggilan Nabi tidak didengari. Dia tidak sengaja.

5. Nabi tahu jika dia melakukan sesuatu yang tidak baik kepada budak suruhan itu, syarak menetapkan hukuman balas yang setimpal, sekalipun Baginda adalah seorang Nabi.

Dalam kisah kedua yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Nabi sedang membahagikan satu pembahagian. Seorang lelaki datang menuju Nabi. Dia tersembam ke atas Baginda. Rasulullah tertusuk pelepah kurma yang ada di tangan Baginda ke muka lelaki itu, lalu melukainya. Nabi bersabda:

تعال فاستقد

“Mari sini, balas!”

Jawab lelaki itu: Bahkan, saya maafkan wahai Rasulullah!

Daripada kisah ringkas ini ada beberapa pengajaran:

1. Nabi sentiasa membuat agihan barangan kepada rakyatnya kerana bantuan datang dari semasa ke semasa. Agihan Nabi paling adil.

2. Nabi bersedia menerima balasan setimpal dari orang yang terkena perbuatannya.

3. Kedudukan Nabi yang mulia tidak menghalangnya dari bersedia menerima balasan daripada orang lain. Ia tidak dijadikan alasan atau benteng kebal bagi menegakkan keadilan. Sepatutnya dalam masyarakat kita, itulah juga yang mesti berlaku. Pangkat dan kedudukan berbeza tidak bermakna hukuman juga mesti berbeza.

Kisah ketiga ialah mengenai Sawad, seorang tentera dalam Perang Badar yang berdiri tidak lurus dalam barisannya sehingga Nabi mencucuk perutnya dengan hujung kayu. Kisah ini saya sudah ceritakan dengan panjang dalam siri sebelum ini. Beliau meminta membalas perbuatan Nabi. Baginda membuka baju untuk dibalas, tetapi Sawad mencium perut Nabi yang mulia itu.

Apa yang berlaku menggambarkan seorang pemimpin tidak gentar menerima balasan setimpal daripada orang lain, jika baginda bersalah, sedangkan Nabi sebenarnya tidak bersalah. Pemimpin yang lain daripada Nabi, tentu ada salah silapnya. Orang yang baik ialah mereka yang mengakui kesilapannya. Dalam masa yang sama, ‘masyarakat netizen’ juga mesti berlaku adil terhadap pemimpin mereka. – HARAKAHDAILY 9/9/2021

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.

- Advertisement -