Kerajaan lebih stabil dengan penyatuan ummah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perpaduan ummah adalah kunci kekuatan sesebuah komuniti bagi memperkukuh kerajaan yang lebih stabil serta mampan.

Selari dengan hasrat yang ditanam Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sejak 2015, konsep penyatuan itu membuahkan hasil apabila tiga parti teras Melayu Islam mengambil kata sepakat mementingkan maslahah rakyat meskipun pelbagai ujian melanda.

- Advertisement -

Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Senator Nuridah Mohd Salleh, berkata ia juga adalah perkara yang sangat dituntut di sisi agama untuk saling bekerjasama antara satu sama lain.

Menurutnya, kesatuan umat Islam dengan menyeru Umno, PAS dan Bersatu duduk semeja memikirkan langkah ke hadapan demi memperkukuh kerjasama politik bagi mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu disokong bersama semua pihak.

Katanya, ini kerana penyatuan ummah diperlukan bagi mewujudkan kerajaan lebih stabil demi kepentingan Melayu-Islam tanpa menafikan hak-hak kaum serta bangsa lain.

“Perpaduan merupakan suatu yang ditunggu-tunggu oleh setiap masyarakat yang baik.

“Kejayaan untuk membangunkan masyarakat dan negara juga akan mudah menjadi kenyataan,” ujarnya ketika dihubungi HarakahDaily hari ini.

Ustazah Nuridah menambah, perpecahan serta perbalahan hanya merugikan umat Islam dan memberi ruang kepada pihak musuh untuk menguasai sesuatu yang didominasi oleh kaum bumiputera.

“Perbalahan memang dinanti-nantikan oleh musuh, mudah untuk menguasai bagi satu-satu kaum yang berbalah,” katanya.

Menyentuh mengenai kerjasama politik antara Muafakat Nasional (MN) serta Perikatan Nasional (PN) katanya, hubungan antara kedua-duanya masih baik tetapi perlu diusahakan dengan lebih bersungguh-sungguh.

Berkaitan perjalanan menuju PRU15 ujarnya, pihaknya mengharapkan yang terbaik serta dipermudahkan segala urusan bagi ketiga-tiga parti terbabit dapat bergerak seiring di bawah panji yang sama.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang melalui tulisan di dalam Minda Presiden sebelum ini menyeru PAS, Umno dan Bersatu yang merupakan tiga parti teras Melayu-Islam dan bumiputera perlu disatukan.

“Ia bertujuan bagi memimpin perubahan dengan penubuhan Muafakat Nasional (MN), disertakan pendekatan masyarakat majmuk dengan penubuhan Perikatan Nasional (PN) bersama prinsip yang anjal (fleksibel) bagi melakukan perubahan yang positif berikutnya.

“Pada masa yang sama, tidak menghapuskan rupa bangsa dan budaya masing-masing yang berkonsepkan tiada paksaan beragama dan adil kepada semua,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/9/2021

- Advertisement -