Isu HSKLU berlaku kerana ketepikan suara rakyat

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

SHAH ALAM: Isu penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) patut menjadi pengajaran kepada kerajaan Selangor supaya bukan saja mewujudkan proses penyahwartaan yang bagus, tetapi mengambil kira pandangan rakyat yang disuarakan melalui proses itu.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata hanya Selangor mewajibkan proses penyiasatan awam dijalankan dalam proses penyahwartaan hutan simpan bagi membolehkan pelbagai pihak berkepentingan menyuarakan pandangan.

- Advertisement -

Katanya, PAS mengalu-alukan keputusan kerajaan Selangor mewartakan semula HSKLU, tetapi isu ini tidak akan timbul jika suara rakyat dalam penyiasatan awam diberi perhatian.

“Beribu-ribu bantahan dikemukakan ketika penyiasatan awam oleh penduduk Orang Asli yang paling terjejas, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berteraskan alam sekitar, malah di kalangan Ahli Dewan Negeri Selangor yang merentasi sempadan kepartian.

“Ini yang menyebabkan kami kecewa kerana kerajaan negeri bukan sahaja membuat keputusan menyahwartakan HSKLU, malah sebenarnya penyahwartaan itu telah berlaku,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari, berkata kerajaan negeri membatalkan keputusan penyahwartaan HSKLU yang dibuat dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), 5 Mei lalu.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan memulakan proses mewartakan semula HSKLU dan menghentikan cadangan pelan pembangunan kawasan itu serta membatalkan pemberian hak milik tanah itu kepada syarikat terbabit.

Bagaimanapun, katanya 42 hektar daripada jumlah keseluruhan 537 hektar akan kekal dinyahwartakan bagi melengkapkan pemberian hak milik tanah kepada Kampung Orang Asli Busut Baru, iaitu isu yang tertangguh sejak tahun 2006.

“Penduduk kampung itu dipindahkan dari penempatan asal mereka pada 1994 untuk tujuan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Selain itu, kerajaan negeri akan mempertimbangkan sebahagian kecil kawasan hutan simpan itu kekal dinyahwartakan untuk tujuan pertimbangan jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL),” katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.

Pada masa sama, katanya status kawasan gantian seluas 581 hektar di Sungai Panjang, Ampang Pechah dan Bukit Broga, akan kekal sebagai Hutan Simpan Kekal.

HSKLU yang diwartakan pada 13 Mei 1927 terletak di Mukim Tanjung 12, Daerah Kuala Langat, Selangor, menjadi perhatian umum berikutan notis penyiasatan awam mengikut Seksyen 11 Akta Perhutanan Negara Enakmen (Pemakaian) 1985 (Subkaedah 7(2)) oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor pada awal tahun lalu.

Notis itu yang bertujuan mendapatkan pandangan umum berikutan cadangan pemansuhan pewartaan HSKLU, mencetuskan polemik dalam kalangan masyarakat, terutama masyarakat Orang Asli yang bergantung hidup dengan hutan terbabit sejak ratusan tahun lamanya.

Selain bantahan NGO alam sekitar, usul yang disokong sebulat suara di Sidang Dewan Negeri Selangor tahun lalu, yang meminta hutan simpan itu dikekalkan tidak dipedulikan.

Dr Ahmad Yunus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sijangkang berkata, kerajaan negeri dengan kerjasama pelbagai pihak juga perlu melakukan pemeliharaan dan pemuliharaan hutan paya gambut itu supaya kebakaran besar yang berlaku sebelum ini tidak berulang.

“Ini bukan mustahil kerana Hutan Simpan Raja Muda Musa di Kuala Selangor adalah antara contoh terbaik pemeliharaan dan pemuliharaan yang dilakukan di situ berjaya membaiki ekosistem hingga mendapat pengiktirafan antarabangsa,” katanya.

Katanya, lokasi berhampiran Lembah Klang menjadikan HSKLU berpotensi menjana kewangan kepada penduduk Orang Asli dan kerajaan negeri melalui aktiviti berteraskan alam sekitar. – HARAKAHDAILY 9/9/2021

- Advertisement -