Covid: Hanya 1.6 peratus kes kategori tiga, empat dan lima

KUALA LUMPUR: Hanya 1.6 peratus atau 302 kes daripada 19,307 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas adalah daripada kategori tiga iaitu dengan radang paru-paru, empat (perlu bantuan oksigen) dan lima (perlu bantuan pernafasan).

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam kenyataan hari ini memaklumkan bakinya iaitu 19,005 kes atau 98.4 peratus adalah daripada kategori satu iaitu tidak bergejala dan kategori dua (bergejala ringan).

Advertisement

“Daripada jumlah kes baharu juga, enam adalah kes import melibatkan dua warganegara dan empat rakyat asing manakala 19,301 kes melibatkan penularan dalam negara iaitu 17,125 warganegara dan 2,176 rakyat asing.

“Setakat 12 tengah hari juga, sebanyak 24,855 kes sembuh turut dicatatkan menjadikan jumlah kes pulih sepenuhnya di negara ini ialah 1,657,486 kes iaitu 86.3 peratus,” menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Beliau berkata jumlah kes aktif di seluruh negara setakat ini ialah 242,802 kes dengan 1,310 dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 737 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Khairy berkata 323 kematian turut direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif seramai 19,486 individu terkorban akibat pandemik itu.

“Sebanyak 27 kluster baharu pula dikesan dalam tempoh 24 jam, dengan keseluruhan jumlah kluster yang telah tamat ialah 3,572 dan jumlah kluster aktif sebanyak 1,450 kluster,” katanya. – BERNAMA