Cerminkan peranan Amar Makruf Nahi Munkar dalam konsep ‘Keluarga Malaysia’

- Advertisement -

BADAN Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan (BPPWP) berpandangan bahawa konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang diperkenalkan kepimpinan Dato’ Sri Ismail Sabri adalah suatu mesej bersatu padu dalam memimpin negara keluar daripada pandemik COVID-19 memasuki era endemik.

Daripada satu sudut yang lain, BPPWP turut berpandangan bahawa konsep ini adalah kesinambungan daripada keprihatinan kerajaan sebelumnya di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berjaya memimpin rakyat keluar daripada pandemik selain menyediakan pelbagai pakej bantuan ‘survival’ kepada rakyat.

- Advertisement -

BPPWP melihat konsep kekeluargaan ini lebih dekat di hati rakyat kerana ia melambangkan kemesraan, keprihatinan dan kebertanggungjawaban. Dalam masa yang sama, BPPWP berpendirian bahawa penerapan nilai Amar Makruf Nahi Munkar dalam unit kekeluargaan juga tidak boleh dikesampingkan. 

Dalam unit kekeluargaan, seorang bapa (pemimpin) bukan sahaja mencari rezeki menyara ahli keluarganya, bahkan jua menyeru ahli keluarganya melakukan amal kebajikan serta menegah perbuatan tidak bermanfaat.

Begitulah juga prinsipnya dalam Keluarga Malaysia. Seorang pemimpin bukan sahaja memimpin rakyat dengan jujur dan telus, tetapi harus juga membimbing mereka melakukan kebajikan (Amar Makruf) dan menegah kemungkaran (Nahi Munkar). 

Menyeru kepada kebaikan itu sudah semestinya mudah tetapi hal ehwal menegah kemungkaran yang sudah sedia sebati pasti banyak mengudang kontroversi. BPPWP menegaskan bahawa walau apapun rintangannya, sudah sampai masanya segala bentuk industri dosa yang mengakar dalam amalan masyarakat dihapuskan, sekurang-kurangnya secara berperingkat. 

Jenayah perjudian, pelacuran, industri arak harus dinyahbudaya daripada masyarakat di negara ini. Dalam masa kerajaan ini juga sedang memperkukuhkan amalan dan pentadbiran Islam sebagai Amar Makruf, ia juga wajar menutup kepelbagaian industri dosa yang masih sebagai asas kepada Nahi Munkar.

Inilah konsep Keluarga Malaysia yang BPPWP gagaskan dan menjadi harapan kita semua. Semoga negara kita dapat keluar daripada pandemik ini dengan keredhaan daripadaNya.

Siiru ‘ala barakatillah.

“Islam Memperkukuh Perpaduan”
“Wilayah Sejahtera”

USTAZ AZHAR YAHYA
Pesuruhjaya
PAS Wilayah Persekutuan
9 September 2021 l 2 Safar 1443H – HARAKAHDAILY 9/9/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/1520715456/posts/10226061227306811/

- Advertisement -