PSR: Lembaga Rayuan batalkan kelulusan EIA

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lembaga Rayuan mengetepikan kelulusan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang memberi kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) untuk projek tambakan laut di Selatan Pulau Pinang (PSR).

Lembaga berpendapat, wajib bagi Ketua Pengarah JAS untuk mematuhi Seksyen 34A (4) (a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (EQA 1974) dalam meluluskan laporan EIA.

“Lembaga telah berpendapat bahawa wajib bagi DG untuk mematuhi Seksyen 34A (4) (a) EQA 1974 dalam meluluskan laporan EIA.

- Advertisement -

“Kelulusan laporan EIA adalah melebihi bidang kuasa (ultra vires) Seksyen 34A (4) (a) EQA 1974 dan keputusan DG adalah tidak sah dan oleh itu dibatalkan (null and void),” katanya.

Keputusan itu dibuat tiga anggota Lembaga Rayuan JAS yang diketuai Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayub dan pakar alam sekitar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Mazlin Mokhtar dan Prof Madya Dr Ramdzani Abdullah (Universiti Putra Malaysia).

Menurut Lembaga Rayuan, draf Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030 (RSNPP2030) yang diluluskan Jawatankuasa Perancangan Negeri dan dirujuk Responden Jabatan Alam Sekitar (JAS) tidak mencukupi untuk tujuan Seksyen 34A (4) (a) EQA 1974.

“Itu bukan lah rancangan pembangunan bagi maksud Seksyen 34A(4)(a) dan ia adalah draf rancangan Rancangan Struktur kerana ia belum disetujui oleh Pihak Berkuasa Negeri (iaitu Gabenor) seperti yang diwajibkan di bawah seksyen 10 (6) Akta Perancangan Bandar dan Desa ’76, bagi draf tersebut menjadi efektif mengikut undang-undang.

“Oleh itu, adalah pra-matang bagi responden untuk bergantung pada RSNPP2030 kerana rancangan yang relevan pada masa itu adalah Rancangan Struktur Pulau Pinang 2020 yang tidak membenarkan tebusguna tanah untuk projek PSR

“Lembaga juga telah melihat sama ada mereka mempunyai bidang kuasa untuk menyembuhkan kecacatan ini dan menyimpulkan bahawa Seksyen 35 (2) EQA 1974 harus dibaca bersama dengan Peraturan Mahkamah 2012.

“Lembaga berpendapat bahawa mereka tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyembuhkan kecacatan ini.

“Oleh itu, bantahan awal oleh perayu, Tuan Haji Zakaria Ismail telah benarkan dan kelulusan dari Ketua Pengarah JAS untuk PSR EIA kini diketepikan kerana ia adalah ultra vires, dan tidak sah dan terbatal (null and void) mengikut Seksyen 34A (4) (a) EQA 1974.

“Oleh kerana demikian, Lembaga Rayuan tidak perlu mempertimbangkan merit rayuan ini,” katanya.

Sementara itu Peguam Utama perayu, Meena Raman berkata, keputusan itu amat penting bukan sahaja untuk kes PSR, namun untuk kesemua kes melibatkan kelulusan EIA dan JAS.

Katanya, keputusan Lembaga Rayuan adalah penting untuk memahami bagaimana Ketua Pengarah JAS mesti membuat keputusan untuk memastikan projek yang memerlukan kelulusan EIA mengikut rancangan struktur atau rancangan tempatan secara berkesan dan mengkur undang-undang.

Selain Meena, perayu juga diwakili oleh Jessica Binwani, Theiva Lingam dan MS Kumaari. – HARAKAHDAILY 8/9/2021

- Advertisement -