PAS Sabah ziarah keluarga mangsa kereta Myvi hanyut

Oleh SUZIANA GHANI

KOTA MARUDU:
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Dr Aliakbar Gulasan, semalam menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa kereta Myvi yang maut akibat hanyut dibawa arus banjir di Kota Kinabalu.

Menurutnya, beliau bersama Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah (LKK DMPNS) dan PAS Sepanggar sempat singgah dan meninjau kawasan tempat berlakunya tragedi tersebut.

Advertisement

“Saya secara peribadi mendoakan agar keluarga mendiang terus diberi kesabaran dan tabah menghadapi keadaan ini,” ujarnya yang juga Setiausaha PAS negeri.

Sumbangan daripada Dr. Aliakbar dan LKK DMPNS telah disampaikan kepada keluarga mangsa sebagai tanda turut berdukacita atas musibah yang berlaku. Turut hadir Ketua LKK DMPNS, Nur Izzati Yusof.

Dalam kejadian petang Jumaat lalu, Simon Sange Tupe, 68, dan Juning Maturun, 37, yang menaiki Perodua Myvi hanyut ke dalam sungai ketika cuba melalui jambatan di Jalan Kionsom Lama.

Bagaimanapun, mayat Juning ditemui terperangkap dalam kereta itu pagi Sabtu lalu manakala mayat Simon ditemui dalam timbunan pasir di tebing sungai di Kampung Dambai, Jalan Kionsom, Inanam, Isnin lalu. – HARAKAHDAILY 8/9/2021