MOT pandang serius kemalangan lori dan lima kenderaan

- Advertisement -

KEMENTERIAN Pengangkutan Malaysia (MOT) mengesahkan kemalangan membabitkan sebuah lori yang terbabas sebelum merempuh lima buah kenderaan lain di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur menghala ke Sentul dari Jalan Duta pada 6 September pada jam 2:40 petang. Kemalangan berlaku ketika semua kenderaan sedang berhenti di lampu isyarat Jalan Ipoh sebelum lori berkenaan merempuh dengan laju daripada bahagian belakang. 

Akibat rempuhan tersebut telah menyebabkan kesemua kenderaan terlibat mengalami kerosakan teruk dan beberapa pemandu dilaporkan mengalami kecederaan dan telah dikejarkan untuk bantuan perubatan di hospital berhampiran.

- Advertisement -

Siasatan awal yang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui ujian saringan air kencing pemandu yang terbabit didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

Dalam hal ini, MOT amat memandang serius insiden yang telah berlaku ini lebih-lebih lagi yang melibatkan isu keselamatan pengguna jalan raya yang lain. MOT juga tidak akan berkompromi dengan sebarang ketidakpatuhan mana-mana pengendali kenderaan perdagangan di Malaysia. Untuk itu, saya telah mengarahkan siasatan dibuat oleh audit Tataamalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 (ICOP) oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Sekiranya pengendali terbabit didapati gagal mematuhi audit ICOP yang merupakan sebahagian daripada syarat-syarat lesen kenderaan perkhidmatan perdagangan, tindakan penggantungan atau pembatalan lesen pengendali di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 boleh diambil oleh APAD. Manakala, tindakan penggantungan lesen memandu boleh diambil oleh JPJ berdasarkan peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 sekiranya pemandu dituduh di mahkamah.

Seterusnya, jika disabitkan kesalahan di mahkamah di bawah Seksyen 44 (1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987, pemandu terbabit boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada 7 tahun dan tidak lebih daripada sepuluh tahun dan denda tidak kurang daripada tiga puluh ribu ringgit dan tidak lebih daripada lima puluh ribu ringgit. Malah, Pemandu terbabit juga hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dari tarikh sabitan.

MOT ingin menegaskan kepada semua pemandu dan pengendali kenderaan perdagangan supaya sentiasa mematuhi segala peraturan dan undang-undang jalan raya bagi memelihara keselamatan pengguna jalan raya yang lain. Diharapkan kejadian seperti ini tidak akan berlaku lagi pada masa akan datang.

DATO’ SERI IR. DR. WEE KA SIONG
Menteri Pengangkutan Malaysia – HARAKAHDAILY 8/9/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/1002345083266329/posts/1988349524665875/

- Advertisement -