Lebih 40 maut dalam kebakaran di penjara di Tangerang, Indonesia

Kredit foto: detik.com
- Advertisement -

JAKARTA: Lebih 40 banduan dilaporkan terkorban dalam kejadian kebakaran sebuah penjara di Tangerang, di Jawa Timur, Indonesia.

“Kejadian kebakaran yang terjadi di Lembaga Pemasyarakatan Kelas 1 Tangerang Blok C2 (penjara di Tangerang) pada Rabu, jam 1.45 waktu Indonesia Barat. Punca kebakaran dipercayai akibat litar pintas,” kata Ketua Lapas (Penjara) Kelas 1 Tangerang, Victor Teguh Prihartono dalam satu kenyataan di sini.

- Advertisement -

Setakat pukul 9 pagi ini, sebanyak 41 banduan yang sedang menjalani hukuman akibat kesalahan berkaitan dadah disahkan maut.

Blok kelas 1 itu menempatkan 122 banduan.

Pihak bomba, polis dan tentera Indonesia masih melakukan kerja-kerja membawa banduan yang cedera ke hospital, dan memindahkan banduan-banduan blok lain, ke tempat yang selamat.

Sementara itu, penjara itu dikatakan menempatkan jumlah banduan melebihi kapasiti sehingga 250 peratus.

Ketua Bahagian Hubungan Masyarakat dan Protokol, Kementerian Hukum dan Hak Asasi Manusia Rika Aprianti dalam satu kenyataan berkata penjara itu menempatkan 2,072 banduan, yang sepatutnya hanya menempatkan 600 banduan.          

Penghuni penjara Tangerang ketika kejadian sebanyak 2,072 orang daripada kapasiti sepatutnya 600 orang. Lebihan banduan daripada kapasiti sebanyak 250 peratus,” katanya dalam satu kenyataan. – BERNAMA

- Advertisement -