KPM muktamad pelan komprehensif pembukaan sekolah

- Advertisement -

SEREMBAN: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengadakan 15 sesi libat urus pelan pembukaan sekolah yang lengkap dengan mengambil kira aspek-aspek penting.

Menterinya Dato’ Dr Radzi Jidin berkata, pada program itu pihaknya menerima pelbagai pandangan dan input yang akan diteliti bagi memastikan sesi persekolahan beroperasi dengan selamat.

Katanya sesi libat urus di Negeri Sembilan semalam melibatkan lima sesi bersama Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) sekolah rendah, PIBG sekolah menengah, guru sekolah rendah, guru sekolah menengah dan pentadbir sekolah.

- Advertisement -

“Bagi mendapatkan maklum balas mengenai pengoperasian sekolah, kami melaksanakan libat urus di sebuah negeri dalam fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan dua negeri berada dalam fasa 3 PPN.

“KPM sentiasa komited untuk melakukan yang terbaik. Pada sesi libat urus kami mendapatkan pandangan ibu bapa, guru dan pentadbir sekolah tentang persekolahan anak-anak di negeri yang memasuki Fasa 3 PPN,” katanya di laman sosialnya hari ini.

Sebelum ini Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) mencadangkan Kementerian Pendidikan mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan.

Menurut NUTP sudah tiba masanya Menteri Pendidikan membuat sidang media harian supaya maklumat dapat disampaikan lebih tepat, sekaligus mengelak kekeliruan ibu bapa.

Dr Radzi juga berkata, langkah itu penting dalam usaha membantu KPM memuktamadkan pelan komprehensif pembukaan sekolah.

“Segala saranan dan cadangan yang dilontarkan dalam sesi libat urus akan kami teliti dan perhalusi. Apa jua yang kami usahakan pastinya demi pendidikan generasi masa depan negara,” ujarnya.

Ketika lawatan ke Negeri Sembilan Dr Radzi turut pertemuan bersama Menteri Besar Negeri Sembilan Dato’ Seri Aminuddin Harun malam tadi.

Menurutnya pertemuan itu turut berkongsi perkembangan semasa sektor pendidikan negara khususnya di Negeri Sembilan.

“Saya juga menjelaskan tentang perancangan KPM berhubung pembukaan semula sekolah. Saya mengucap terima kasih di atas kesediaan kerajaan negeri memberi kerjasama menjelang pembukaan semula sekolah untuk pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/9/2021

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!