Bukan semua mahu membeli rumah

Saranan kepada kerajaan baharu (Siri 2)

- Advertisement -

ADAKAH polisi kerajaan hari ini terlalu memberi penekanan kepada mereka yang hendak membeli rumah sehingga tidak memberi peluang kepada rakyat untuk membuat pilihan yang lain?

Di antara tanggungjawab kerajaan adalah agar rakyat mampu menyewa kediaman yang berkualiti bagi mereka yang belum mampu membeli rumah atau yang tidak berminat untuk membeli rumah.

- Advertisement -

Memastikan rakyat mampu menyewa rumah berkualiti

Hari ini terdapat Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang menawarkan kediaman dengan sewa serendah RM125 sebulan.

Walau bagaimanapun di antara masalah-masalah PPR adalah:

1. Senarai menunggu yang panjang kerana bilangannya yang terhad.

2. Kedudukannya yang jauh dari tempat kerja mengakibatkan kos pengangkutan tambahan bagi penduduk.

3. Berlaku sewa atas sewa yang mengakibatkan sewa melambung naik.

Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri perlu bekerjasama untuk menyelesaikan sebarang kelemahan dan kekurangan kerana ia berupaya memenuhi permintaan mereka yang memerlukan tempat tinggal dengan segera.

Memang tidak dinafikan terdapat PPR yang dibelenggu dengan masalah sosial, masalah sikap dan masalah penyelenggaraan namun ia boleh diatasi.

Kerajaan Persekutuan juga telah menyediakan skim rumah sewa untuk golongan belia seperti Skim Perumahan Transit Belia (MyTransit). Skim ini adalah untuk golongan belia yang sama ada yang telah berkahwin atau yang masih bujang dari kumpulan B40 dan M40.

Skim MyTransit ini adalah untuk disewa dan bukan untuk dibeli. Projek pertama sebanyak 2,010 unit adalah di Mukim Batu dan Kepong dijangka siap dalam tahun 2022. Skim ini menjanjikan sewa sekurang-kurangnya 20 peratus lebih rendah dari nilai pasaran.

Kelebihan skim ini adalah peratusan sewa bulanan akan diketepikan dan dipulangkan kepada penyewa selepas tamat kontrak sewaan. Kaedah ini adalah sama seperti konsep Smart Sewa Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor yang diumumkan terdahulu dari MyTransit.

Skim MyTransit ini adalah amat diperlukan oleh golongan muda yang baharu bekerja atau yang baharu mendirikan rumah tangga dan belum mampu lagi memberi rumah. Justeru itu ia perlu ditambah dan tidak setakat hanya 2 projek.

Ketika membentangkan Belanjawan 2021 pada bulan November lepas, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz telah mengumumkan kerjasama dengan institusi-institusi kewangan untuk menawarkan unit-unit di bawah skim sewa milik atau ‘rent to own’ ( RTO ). Ia melibatkan 5,000 unit kediaman Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang bernilai lebih RM1 bilion.

Terdapat pelbagai skim RTO di negara kita. Terdapat bank yang menawarkan skim ini. Kerajaan Negeri Selangor hari ini juga menawarkan skim ini (2STAY) untuk Rumah Selangorku dan Rumah Idaman yang merupakan penambahbaikan kepada skim perintis Rimba Jaya di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat sebelum ini. Setiap skim memiliki syarat dan peraturan tersendiri.

Secara asas skim RTO membenarkan peserta menyewa kediaman dan diberi tempoh untuk membuat keputusan sama ada mahu membeli rumah tersebut. Tempoh ini mungkin 2 tahun dan mungkin 5 tahun. Ada skim yang menetapkan sebahagian dari sewa bulanan ini akan ditolak dari harga rumah jika peserta mahu membeli rumah yang disewa. Jika mereka tidak berhasrat membeli maka ada skim yang mensyaratkan mereka mesti berpindah keluar tetapi sebahagian dari sewa yang dibayar akan dipulangkan kembali sepertimana MyTransit atau Smart Sewa.

Di antara kelebihan skim ini adalah mereka yang berhasrat hendak membeli rumah tidak perlu membayar deposit sehingga 10 peratus harga rumah sepertimana mereka yang membeli rumah. Mereka hanya diperlukan membayar deposit 2 atau 3 bulan sewa seperti yang biasa diwajibkan ke atas penyewa rumah.

Sebahagian dari sewa yang dibayar akan dipulangkan semula sama ada untuk membeli rumah yang mereka sewa atau untuk membeli rumah yang lain jika mereka mahu menamatkan kontrak. Justeru itu, sewa bulanan yang dibayar tidak kesemuanya ‘hilang’ tetapi dapat dimanfaatkan.

Walau bagaimanapun yang paling penting adalah harga rumah di‘kunci’ atau ‘locked’ pada harga ketika peserta berpindah masuk ke dalam rumah. Peserta mungkin akan membeli rumah tersebut lima tahun selepas berpindah masuk tetapi harga jualan adalah ketika beliau berpindah masuk. Peserta skim ini akan terlindungi dari sebarang kenaikan harga yang pasti akan berlaku.

Kesimpulannya terdapat program-program yang dapat memenuhi keperluan mereka yang belum lagi mahu membeli rumah tetapi memerlukan kediaman yang berkualiti dan sempurna. Kerajaan tidak perlu memecahkan kepala untuk memikirkan program-program baharu. Tetapi yang diperlukan adalah penambahbaikan dan penyesuaian yang berupaya memenuhi keperluan dan kemampuan semua lapisan rakyat.

Kerajaan tidak akan rugi jika meluluskan peruntukan yang tinggi untuk perumahan. Pulangan kepada kerajaan adalah rakyat yang sejahtera. Perumahan yang tidak berkualiti, yang tidak sempurna atau yang sesak adalah punca kepada pelbagai masalah sosial. Jenayah juga akan menjadi berleluasa. Keluarga menjadi tidak bahagia. Anak-anak tidak akan dapat memberi tumpuan kepada pelajaran mereka. Negara tidak akan dapat melahirkan individu yang efisien, produktif dan kreatif. Jika perumahan diabaikan, seribu satu masalah lain akan timbul. Maka tumpuan perlu diberi kepada perumahan. 

Dalam keadaan ekonomi ketika pandemik COVID-19, kerajaan yang sepatutnya menerajui usaha untuk menyediakan kediaman untuk golongan yang memerlukan ini. Sama ada PPR, MyTransit atau RTO. Tidak wajar untuk menyerahkan seluruh tanggungjawab ini kepada pemaju-pemaju atau pemilik-pemilik rumah persendirian. Laksanakan projek yang berskala besar dan bukan sekadar projek-projek kecil untuk mendapatkan publisiti. Kerajaan perlu memiliki ‘political will’ untuk menyelesaikan masalah rakyat. (Bersambung)

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) – HARAKAHDAILY 7/9/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100000270189106/posts/4648674258484868/

- Advertisement -