Ahli Parlimen peruntuk RM10,000 di lokasi PKPD

- Advertisement -

TUMPAT: Setiap kampung yang dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akibat penularan wabak Covid-19 diberi peruntukan sebanyak RM10,000.

Peruntukan itu disumbang Pusat Khidmat Parlimen Tumpat bagi membantu penduduk yang terjejas ekoran pelaksanaan PKPD.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, sumbangan yang diberi berupa makanan kering seperti beras, gandung atau meehon dan sebagainya.

Selain itu turut disumbang keperluan barangan basah seperti ayam, ikan, telor atau sayur yang diberi tiga hari sekali.

“Sumbangan ini adalah yang terakhir memandangkan PKPD akan berakhir 10 September,” katanya ketika ditemui selepas meninjau PKPD Kampung Talak, di sini semalam.

Kampung berkenaan dikenakan PKPD bermula 29 Ogos lalu dan dijangka berakhir 10 September ini. Sebanyak 395 rumah di kampung berkenaan terlibat dengan PKPD.

Sehingga sekarang tiga penempatan di Tumpat dikenakan PKPD iaitu Kampung Baru Nelayan, Kampung Gerong dan Kampung Talak.

Che Abdullah juga berkata, penduduk di lokasi PKPD turut dibantu Jabatan Ahli Kebajikan Masyarakat dan NGO.

Beliau turut mengingatkan penduduk yang dikenakan PKPD sentiasa mematuhi arahan kerajaan dan tidak melakukan kesalahan yang bertentangan dengan undang-undang seperti cuba meloloskan keluar. – HARAKAHDAILY 8/9/2021

- Advertisement -