Umno akui agenda penyatuan Melayu-Islam penting

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Umno Bahagian Jeli berharap kerjasama antara dua parti Melayu-Islam iaitu PAS dan Umno di bawah panji Muafakat Nasional (MN) dapat diperkasakan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketuanya, Dato’ Mohd Adhan Kechik berkata, kerjasama itu perlu menjadi kenyataan untuk menghadapi PRU15 dengan kedua-dua pihak dapat menyelesaikan isu berbangkit.

Katanya, kerjasma MN di peringkat Dun Bukit Bunga sudah lama berlangsung bersama dengan PAS.

- Advertisement -

“Cuma kita sedikit terganggu setelah Perikatan Nasional ditubuhkan, bagi saya jangan pula berlaku apa yang dipanggil ‘back door listing’.

“Sekarang sudah ada MN, saya harap untuk menghadapi PRU15 MN mesti diperkukuhkan antara kedua-dua pihak,” katanya ketika dihubungi di sini.

Baru-baru ini Timbalan Presiden PAS Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berharap hubungan MN dan Perikatan Nasional (PN) dapat diperkukuhkan lagi bagi menghadapi PRU15 tidak lama lagi.

PAS dan Umno kembali bertaut selepas Umno dan Barisan Nasional (BN) kecundang pada PRU14, pertama kali berlaku sejak negara mencapai kemerdekaan.

Namun gugatan isu Melayu, Islam dan Raja-raja Melayu sepanjang pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) menyebabkan PAS dan Umno menjalin kerjasama sehingga muncul Piagam Muafakat Nasional pada 14 September 2019.

Mohd Adhan yang juga Adun Bukit Bunga berkata, Umno dan PAS mempunyai cabaran sendiri khasnya isu pembahagian kerusi, namun keadaan itu tidak sukar jika pimpinan parti dapat berlapang dada.

“Pembahagian kerusi ini kecil sahaja, jangan jadi isu ini sebagai penghalang sebab kita ada benda yang lebih besar dan penting iaitu penyatuan Melayu Islam.

“MN merupakan gabungan yang kuat tiada parti boleh lawan. Di peringkat akar umbi rakyat sememang ternanti-nanti agenda tersebut supaya dapat direalisasikan,” katanya.

Malah kata beliau sehari selepas kerjasama antara PAS dan Umno termaterai Umno dan PAS Jeli mengadakan program di semua Unit Daerah Mengundi (UDM) bagi memberi penjelasan isu itu.

Menurutnya beliau bersama pemimpin PAS di Dun Bukit Bunga turun padang berjumpa masyarakat secara santai termasuk mengadakan ceramah MN. – HARAKAHDAILY 7/9/2021

- Advertisement -