Tiga agenda persiap kontinjen Malaysia hadapi Paris 2024

SEPANG: Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan tiga agenda yang bakal dilaksana dalam mempersiap kontinjen negara bagi menghadapi temasya Sukan Olimpik serta Paralimpik Paris 2024 dan seterusnya.

Beliau berkata pertama ialah penubuhan Jawatankuasa Penilaian dan Penambahbaikan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 untuk menilai secara keseluruhan pelaksanaan program Road to Tokyo yang bermula pada 4 Feb 2019.

Advertisement

Katanya jawatankuasa itu akan diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk M Noor Azman Taib dengan dianggotai wakil Majlis Sukan Negara (MSN), Majlis Olimpik Malaysia, Majlis Paralimpik Malaysia, Institut Sukan Negara, badan sukan serta semua pihak berkepentingan.

Ahmad Faizal berkata agenda kedua ialah memulakan Program Khas Olimpik dan Paralimpik daripada hasil dapatan Kajian Jawatankuasa Penambahbaikan Program Podium.

“Program ini akan menjadi program fokus atau graduasi kepada Program Podium sedia ada bagi membolehkan kita melihat tiga kitaran Olimpik dan Paralimpik akan datang iaitu Paris 2024, Los Angeles 2028 dan Brisbane 2032. 

“Program ini akan menjadi antara hala tuju kita dalam Visi Sukan Negara 2030 berkaitan Kecemerlangan Sukan dan Pembangunan Bakat. Perkara ini akan kita kongsikan kemudian dengan lebih terperinci,” katanya pada sidang akhbar ketika menyambut kepulangan kelompok terakhir Kontinjen Malaysia dari Paralimpik Tokyo 2020 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur semalam.

Bagi agenda terakhir, beliau mahu melihat keterlibatan persatuan sukan yang lebih berkesan bagi mengukuhkan pengenalpastian bakat di setiap peringkat kejohanan.

“Saya telah mengarahkan Ketua Pengarah MSN (Datuk Ahmad Shapawi Ismail) untuk melihat perkara ini bagi membolehkan persatuan sukan dipersiap dari segenap sudut untuk memastikan atlet kita sentiasa bersedia,” katanya.

Ahmad Faizal turut memuji prestasi cemerlang kontinjen Paralimpik negara yang mencatatkan pencapaian terbaik dalam sejarah 16 kali penyertaan di temasya itu sejak edisi Heidelberg 1972 dengan boccia dan badminton menjadi sukan baharu menghadiahkan pingat selain olahraga dan powerlifting.

Beliau bagaimanapun menekankan bahawa kerja keras diperlukan dalam mencari bakat baharu untuk mengelakkan masalah pada edisi seterusnya memandangkan 72 peratus daripada 22 atlet yang mewakili negara di Paralimpik Tokyo sudah berumur lebih 25 tahun.

Kontinjen Malaysia berjaya membawa pulang tiga pingat emas dan dua perak dari Tokyo sekali gus mengatasi pencapaian tiga emas dan sebutir gangsa di Rio 2016. – BERNAMA