RM150,000 setahun maju ikan air tawar di Kelantan

- Advertisement -

Oleh ZULKEFLI HUSSIN

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Jajahan Pasir Puteh antara lokasi pengeluaran ikan air tawar terbesar di Kelantan, selain Danau Tok Uban di Pasir Mas.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau Dan Alam Sekitar, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, perkara itu akan menjadi kenyataan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Katanya, sejak 10 tahun lepas sejumlah 50,000 hingga 70,000 benih ikan dilepaskan dalam tempoh setahun di sungai Kampung Tasek Pauh dan Tok Ajam di bawah seliaan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA).

Kata beliau pelbagai spesies ikan dilepaskan termasuk keli, talapia, jelawat, tumang galang dan udang galah.

“Ratusan petani termasuk 30 nelayan sungai yang tinggal di kawasan terbabit termasuk Kampung Jelor berjaya menangkap antara 30 hingga 100 kilogram ikan sehari,” katanya kepada pemberita di Kampung Tasek Pauh di sini, hari ini.

Tuan Mohd Saripudin yang juga Adun Selising berkata, terdapat penduduk kampung menjadikan sebahagian hasil tangkapan ikan itu sebagai perkasam.

Katanya ikan perkasam dipasar pada musim tengkujuh bermula Oktober sehingga Mac setiap tahun termasuk ke Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang.

Katanya juga kerajaan negeri bercadang menubuh Mykomuniti Perikanan Darat Kampung Tasek Pauh yang disertai 35 penduduk kampung itu.

“Kerajaan negeri juga turut menyumbang peralatan seperti pukat, bubu, unjang dan jala kepada nelayan darat serta bantuan one-off sebanyak RM200 bagi meringankan beban mereka sepanjang pandemik,” katanya.

Menurutnya juga kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM150,000 setahun untuk memajukan ikan air tawar di seluruh Kelantan dan akan ditambah RM300,000 setahun mulai tahun depan. – HARAKAHDAILY 7/9/2021

- Advertisement -