Peranan media sangat penting sampaikan risalah Islam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Peranan media pada masa kini sangat penting dalam menyampaikan risalah kesempurnaan Islam, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad.

Katanya, roh masyarakat mesti disajikan dengan kandungan-kandungan bermanfaat bagi pembinaan modal insan.

Beliau menyatakan demikian menerusi hantaran di laman Facebooknya.

- Advertisement -

Menurutnya, hari ini beliau menerima kunjungan hormat daripada pihak pengurusan TVAlhijrah yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris yang turut disertai Ketua Kumpulan Integrasi Media dan Hal Ehwal Korporat, Saifulizan Sidek dan Pengurus Besar Kejuruteraan Penyiaran, Suffian Yahya.

Katanya, kunjungan hormat bertujuan mengeratkan jalinan ukhuwah bersama seterusnya perbincangan mengenai Perancangan Pencapaian 100 Hari TV-AlHijrah berdasarkan lima initiatif MANTAP.

Salah satunya, kata beliau Pemantapan Institusi Kekeluargaan, Sosial dan Komuniti Islam dengan program-program menarik seperti Analisis, E-Kaunter Netizen dan Hijrah Prihatin yang akan menyajikan input-input yang menarik dan bermanfaat kepada masyarakat.

“Semoga TV-AlHijrah dapat menjadi salah satu platform media massa yang baik kepada masyarakat untuk menerapkan kefahaman Islam dan menyatupadukan ummah di Malaysia,” katanya.

Sebelum itu, satu pertemuan diadakan bersama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang diketuai oleh yang dipertuanya, Ustaz Nasrudin Hassan untuk menerima penerangan perihal peranan, perancangan, perkhidmatan dan pencapaian yayasan itu. – HARAKAHDAILY 7/9/2021

- Advertisement -