Pengalaman Muhyiddin mampu bantu kerajaan tangani wabak

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Majlis Pemulihan Negara (MPN) sebuah jawatankuasa yang sangat penting bagi membawa negara keluar daripada wabak Covid-19 dan memulih semula ekonomi.

Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis Muhammad Azmir Azizan berkata, pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi MPN sekurang-kurangnya dapat melaksanakan perkara yang dirancang beliau sebelum ini.

- Advertisement -

Katanya, mungkin sebelum ini ada perkara-perkara besar yang dirancang namun belum sempat dilaksanakan kerana berlaku pergolakan politik.

Oleh itu kata beliau bekas perdana menteri terbabit boleh menggunakan peluang sekarang sebaik mungkin bagi membantu kerajaan keluar daripada kemelut wabak.

“Jasa dan komitmennya semasa menerajui negara sudah terbukti sehingga lapan pakej rangsangan ekonomi dilaksanakan kerajaan bagi membantu rakyat yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19.

“Jadi pengalaman Tan Sri Muhyiddin yang luas sebelum ini diyakini mampu membantu kerajaan ke arah memulihkan ekonomi negara,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada 4 September lalu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali mengumumkan pelantikan Muhyiddin sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang bertaraf menteri.

Menurutnya pelantikan itu untuk menerajui strategi pemulihan negara bagi mencapai impak ekonomi terbaik dan memulihkan semula kehidupan rakyat yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Sebelum ini, ketika masih berkhidmat sebagai perdana menteri, Muhyiddin turut mempengerusikan MPN dalam usaha berdepan impak pandemik Covid-19.

Muhyiddin dilapor menerima pelantikan itu dan sedia menjalankan tugas secara sukarela tanpa imbuhan. – HARAKAHDAILY 7/9/2021

- Advertisement -