Pemimpin perlu tangkas bantu mangsa banjir

Oleh NURSAM MOHAMMAD

PUTATAN: Semua pemimpin parti politik dan setempat perlu tangkas menyalurkan bantuan kepada penduduk yang terbabit dengan bencana banjir bagi memastikan keselamatan terjamin.

Timbalan Yang Di-Pertua PAS Putatan, Zulzaim Hilmee Abidin berkata, pusat pemindahan sementara dan keperluan asas adalah keutamaan jenis bantuan yang harus disediakan untuk keselamatan nyawa penduduk.

Advertisement

“Penduduk yang terjejas dengan banjir juga perlu mengambil langkah keselamatan kendiri dengan memastikan bekalan elektrik dimatikan terlebih dahulu agar dapat mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Malah kena sentiasa peka dan mengikut arahan pihak keselamatan sementara menunggu bantuan tiba.

“Sentiasa peka melalui media massa atau media sosial akan amaran berlakunya banjir agar persiapan awal dapat diusahakan dengan segera,” kata Zulzaim.

Beliau mengetuai PAS Putatan turun padang meninjau keadaan beberapa kampung dalam Parlimen Putatan yang terjejas dengan banjir akibat cuaca yang tidak menentu sejak kebelakangan ini.

“Hari ini kami turun bagi memantau keadaan kawasan banjir, dan didapati keadaan terkini kebanyakkan mangsa sedang membersihkan rumah masing-masing,” katanya.

Pihaknya bersama Pemuda Perikatan Nasional ke Kampung Tebongon yang terjejas banjir untuk menyampaikan bantuan banjir.

“Kami memberikan sumbangan bakul makanan bagi mengisi keperluan seisi keluarga sehingga keadaan pasca banjir ini kembali seperti sedia kala,” ujar Zulzaim.

Cuaca hujan yang berterusan sejak 3 September lalu telah mengakibatkan banjir di beberapa daerah terdekat seperti Penampang dan Beaufort. – HARAKAHDAILY 7/9/2021