PAS Semporna bantu mangsa kebakaran Kampung Panji

Oleh NURUL AIN NORDIN

Advertisement

SEMPORNA: Sebanyak 12 buah keluarga mangsa kebakaran Kampung Panji menerima bantuan susulan sumbangan orang ramai di Dewan Kampung Panji, di sini, pada Sabtu.

Mangsa menerima sumbangan wang tunai yang disampaikan oleh Timbalan Pengerusi Sabah Relief, Mohd Tarmizi Mohd Yahya. Turut hadir bersama Ketua Pemuda, Muhammad Huzaini Rohani dan Ketua Lajnah Kebajikan PAS Semporna, Razis Asparin.

Wang sumbangan merupakan dana daripada Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Dr Aliakbar Gulasan, Cakna Palestine Cawangan Kelantan dan Sabah Relief.

Tarmizi mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang yang turut sama membantu meringankan beban mangsa atas musibah yang berlaku.

“Dalam perkara kebajikan, ini merupakan usaha tolong-menolong kita bersama. Dalam menghadapi ujian yang berat ini memerlukan kesabaran dan kebergantungan yang tinggi kepada Allah swt”.

“Kami mendoakan semoga dipermudahkan segala urusan mangsa kebakaran sepanjang ditimpa musibah ini,” ujarnya lagi.

Sepuluh buah rumah musnah dan dua rosak teruk dalam kebakaran yang berlaku pada 5 Julai lepas. – HARAKAHDAILY 7/9/2021