JAS belum terima laporan EIA cadangan pembangunan HSK Sungai Panjang

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Jabatan Alam Sekitar (JAS) belum menerima Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) daripada kerajaan Selangor berhubung cadangan pembangunan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Sungai Panjang di Sabak Bernam.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata mengikut Seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127), laporan EIA diperlukan bagi membolehkan penilaian impak pembangunan terhadap alam sekitar dijalankan.

- Advertisement -

Bercakap pada sidang media selepas menyampaikan Amanat Sasaran Utama 100 Hari Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) di sini hari ini, beliau berkata penilaian impak itu membolehkan JAS mencadangkan langkah yang perlu diambil untuk mencegah, mengurang atau mengawal kesan negatif terhadap alam sekitar.

“Sebarang keputusan sama ada kerja-kerja pembangunan di kawasan HSK Sungai Panjang, Sabak Bernam wajar diteruskan atau tidak adalah tertakluk kepada keputusan penilaian EIA,” katanya sambil menambah laporan EIA itu hendaklah disediakan oleh orang yang berkelayakan dan menepati garis panduan JAS.

Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dilaporkan media semalam menafikan dakwaan pihaknya telah menceroboh dan membuka sebahagian kawasan HSK Sungai Panjang yang dikatakan hutan gantian berikutan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU).

Laporan itu menyebut PKPS sedang menyiapkan laporan EIA dan telah mematuhi semua saranan serta arahan JAS Selangor sebelum memulakan kerja pembangunan di tapak Selangor Smart Agro Park sepertimana yang telah diarahkan JAS menerusi surat kelulusan bertarikh 31 Mei.

Tuan Ibrahim dalam pada itu berkata KASA sentiasa terbuka dengan kerajaan Selangor dalam menawarkan khidmat konsultasi dan sesi libat urus bagi mencari jalan terbaik terhadap cadangan pembangunan tersebut.

“Keutamaan KASA adalah memastikan setiap projek pembangunan dilaksanakan secara lestari tanpa memberi impak yang negatif kepada alam sekitar,” katanya.

Mengenai penyahwartaan HSKLU, Tuan Ibrahim berkata pihaknya senada dengan pendirian Kementerian Tenaga dan Sumber Asli yang tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.

Beliau menyifatkan cadangan seumpama itu akan menjejaskan sasaran pengurangan karbon intensiti berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 45 peratus menjelang 2030 di bawah Nationally Determined Contribution (NDC) yang dikemukakan kepada Kerangka Kerja Konvensyen Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC) bagi tahun ini.

30 Ogos lepas, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor Hee Loy Sian pada sidang Dewan Undangan Negeri dilaporkan berkata kira-kira 536.7 hektar daripada keseluruhan kawasan HSKLU diluluskan untuk dinyah warta mengikut Seksyen 12 Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985. – BERNAMA

- Advertisement -