INDERA MAHKOTA: PAS Kawasan Indera Mahkota (PASKIM) berikrar memastikan kemenangan Perikatan Nasional-Muafakat Nasional pada PRU15 bagi Parlimen Indera Mahkota, DUN Beserah dan DUN Semambu.
Yang Dipertua PASKIM, Andansura Rabu bagaimanapun menegaskan, pihaknya wala’, taat dan thiqah kepada pucuk pimpinan tertinggi parti dalam memuktamadkan strategi melibatkan pembahagian kerusi dan penentuan calon.
“Siapa calon, parti mana yang bertanding, itu kita serah sepenuhnya kepada keputusan pimpinan tertinggi,” ujarnya juga selaku Pengerusi Lajnah Politik dan Pilihan Raya PASKIM selepas menyertai Konvensyen Pilihan Raya PAS Pusat.
Peringat beliau, selain memperkemaskan gerak kerja asas, jentera di semua peringkat juga perlu terus meyakini dan meningkatkan kebergantungan diri kepada Allah melaksanakan amalan fardi seperti solat dan puasa sunat, zikir dan munajat.
Andansura turut berharap rakyat terus memberi kepercayaan kepada PAS pada PRU15 nanti dengan bersama dalam agenda Penyatuan Ummah yang mengambil manhaj Rasulullah S.A.W menubuhkan negara Madinah terdiri dari pelbagai kaum dan agama.
Konvensyen secara dalam talian itu sebagai antara persiapan PAS bagi PRU15 nanti di mana telah disertai oleh 12 wakil PASKIM yang mengikuti hingga penutupan oleh taujihat Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, kelmarin.
Antara dikupas beliau adalah peristiwa Perang Badar dan Perang Uhud di mana Rasulullah sendiri bermandi keringat dan darah dalam menegakkan Islam serta ramainya para Sahabat R.A syahid di medan pertempuran.
“Kini menjadi kewajiban kita menegakkan Islam di ruang demokrasi dengan pendekatan Muwajahah Silmiyyah. Setiap ahli dan pimpinan perlu ikhlas dalam perjuangan. Berjuang mesti hanya kerana Allah bukan kerana jawatan dan habuan dunia,” ujarnya.
Peringat beliau, perjuangan menegakkan Islam menuntut setiap ahli dan pimpinan supaya wala’, taat dan thiqah kepada keputusan Majlis Syura Ulamak dan PAS Pusat.
Tegasnya, dasar perjuangan PAS adalah Islam dan rujukan perjuangannya adalah al-Quran, as-Sunnah, Ijmak Ulamak dan Qias di mana tidak pernah berubah, melainkan strategi dan pendekatan dalam mencapai matlamat Islam. – HARAKAHDAILY 6/9/2021