MERBOK: Pemuda PAS dan Pemuda GERAKAN melakar satu lagi sejarah baharu dalam hubungan parti politik apabila telah bersama membantu penduduk terkesan bencana kepala air Gunung Jerai baru-baru ini.
Ketua Pemuda PAS Malaysia, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin disertai Pemangku Ketua Pemuda GERAKAN Pusat, Wong Chia Zhen telah membantu kerja-kerja baik pulih paip perbekalan air di Bukit Kuari Batu, Singkir Darat, di sini semalam.
Ternyata, pada pelbagai perbezaan serta pertembungan pernah terakam antara kedua pihak, lembaran baharu politik dibuka ke arah memimpin rakyat dan negara menuju dimensi yang lebih matang dan sejahtera.
Malah, kebersamaan dan seiring kedua pihak terzahir dari kesediaan delegasi daripada Pemuda GERAKAN untuk turut menyarung t-shirt warna meroon Jabatan Amal Malaysia (AMAL) dalam melaksanakan misi kebajikan tersebut.
Penyertaan Pemuda GERAKAN bergelumang bersama rutin Pemuda PAS ini juga menyerlahkan bahawa medan sukar iaitu menangani kesan bencana seperti ini adalah antara wadah untuk membuktikan keprihatinan dan keutamaan terhadap kepentingan rakyat.
“Hari ini saya dan rakan-rakan daripada Pemuda GERAKAN turun bersama Jabatan Amal Malaysia bagi berganding bahu memasang saluran paip baru untuk menyalurkan air bersih kepada beberapa kampung yang terkesan akibat bencana kepala air.
“Saya lihat tidak mudah untuk membawa paip sebanyak dan sebesar itu menaiki gunung melalui jalan hutan yang penuh dengan selut serta air sungai yang deras tidak kira waktu. Sekiranya silap langkah, kemalangan jiwa boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja. Allahulmusta’an.
“Saya sangat berterima kasih kepada para petugas anggota Jabatan Amal Malaysia Negeri Kedah serta daripada negeri-negeri lain yang memberikan fokus serta komitmen sepenuhnya demi kebajikan para penduduk kampung di sini.
“Kami berharap sumbangan ini kepada masyarakat setempat melalui aktiviti kemasyarakatan para petugas anggota Jabatan Amal Malaysia dapat mengurangkan sedikit sebanyak beban yang dihadapi oleh keluarga-keluarga yang terjejas dengan musibah kepala air ini.
“Sesungguhnya setiap daripada kesusahan itu pasti akan disusuli dengan kesenangan, itu janji Allah,” ujarnya memetik surah al-Insyirah. – HARAKAHDAILY 6/9/2021
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!