Ajaran sesat PMYT ada kaitan isu keselamatan negara

- Advertisement -

SALMAH MAT HUSAIN | FOTO RIZAL TAHIR

KOTA BHARU: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan berbincang isu ajaran sesat ‘Perjalanan Mimpi Yang Terakhir’ (PMYT) bersama Muzakarah Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Ahmad Marzuk Shaary berkata, soal agama membabitkan enakmen di negeri-negeri dan perkara berkenaan perlu diperhalusi lebih lanjut.

Katanya, Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM) sudah sedia maklum mengenai ajaran sesat terbabit.

- Advertisement -

Malah, kata beliau ia sudah diserah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman untuk membuat siasatan.

“Siasatan sudah dijalankan. Buat masa ini jumlah pengikut ajaran itu belum diterima secara tepat daripada pihak Bukit Aman.

“Susulan daripada penyiasatan itu nanti, kami akan melihat apa ruang yang boleh dibantu bagi menyelesaikannya,” katanya selepas Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang dan IPTA Parlimen Pengkalan Chepa semalam.

Program itu diadakan secara pandu lalu di Pusat Khidmat Ahli Dewan Rakyat (ADR) di Kampung Landak, Pengkalan Chepa.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Hamzah Zainuddin memberitahu pihaknya akan mengarahkan PDRM mengambil tindakan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) kepada mana-mana individu yang cuba menimbulkan kegusaran, menakut-nakutkan dan mengganggu ketenteraman awam termasuk kepada kumpulan PMYT.

Baru-baru ini media melaporkan seorang wanita berusia 39 tahun menggunakan gelaran Sittah Annur didakwa mengembangkan ajaran PMYT yang dipercayai bertentangan dengan ajaran Islam sebenar.

Wanita terbabit menetap di Shah Alam itu dikesan sejak enam bulan lalu menggunakan media sosial seperti Facebook (FB), YouTube dan Telegram untuk berkongsi pelbagai ramalan termasuk Perang Dunia Ketiga kononnya berlaku di Sabah.

Ahmad Marzuk juga berkata, dua isu utama dalam menangani isu terbabit iaitu berkaitan ajaran sesat dan keselamatan negara.

“Sekarang ini soal keselamatan yang perlu diberi keutamaan,” ujarnya.

Katanya individu terbabit serta pengikutnya akan dikenakan tindakan bersesuaian mengikut bidang kuasa di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). – HARAKAHDAILY 6/9/2021