LTSIP: Lapangan terbang domestik bertaraf antarabangsa

Foto daripada Facebook Ustaz Marzuk Shaary.
- Advertisement -

KOTA BHARU: International Class Domestic Airport’, mungkin itulah kesimpulan yang dapat Datuk Ahmad Marzuk Shaary coretkan untuk warga Pengkalan Chepa yang mungkin tertanya-tanya tentang projek menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), yang telah bermula.

Katanya, dengan kos RM440 juta itu, LTSIP mampu menampung sehingga empat juta penumpang setahun berbanding 1.5 juta penumpang sekarang.

- Advertisement -

“Pada tahun 2019, LTSIP kita sekarang ini telah pun mencatatkan 1.8 juta penumpang, 0.3 juta melebihi kapasiti yang mampu ditampung,” ujarnya menerusi laman Facebook beliau, malam ini.

Menurut Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu lagi, walaupun masih bertaraf domestik, pintu masuk ke Kelantan melalui udara itu dilengkapi dengan kemudahan bertaraf antarabangsa.

Tambahnya, LTSIP akan dilengkapi dengan tempat letak kereta bertingkat, lapan aerobridge, tiga parkir pesawat terbuka, sistem kawalan penerbangan baru, dan pelbagai naik taraf lain yang dijangka siap sepenuhnya pada April 2024.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu rasa bersyukur dan berpuas hati dengan laporan terkini oleh Pengurus LTSIP, Ahmad Fikri Samsudin.

“Isu lapangan terbang ini sentiasa dibangkitkan oleh saya di parlimen, malah oleh YB Dr Izani Husin sebelum ini,” katanya.

Beliau menambah, LTSIP merupakan antara lapangan terbang domestik tersibuk dalam negara.

Menurutnya lagi, satu perkara yang menarik juga, naik taraf LTSIP ini juga mengambil kira pandemik semasa dan kemungkinan gaya norma baharu dalam kehidupan kita yang memerlukan penjarakan dan sebagainya.

Tambahnya, sebanyak 14 buah surau akan dibina di dalam terminal baru yang boleh memuatkan sehingga 500 jemaah di semua lokasi pada satu-satu masa.

“Insya Allah, kita telah pun bersedia untuk dinaik taraf kepada status antarabangsa pada fasa seterusnya. Doakan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 5/9/2021

- Advertisement -