Kerja-kerja amal menurut Islam

Kredit gambar: Hijrah RepubliQue See Less.
- Advertisement -

DI Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), kita ada banyak kerjasama dengan sejumlah besar pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang melakukan kerja-kerja kesukarelawanan dalam membimbing komuniti LGBT (lesbian, gay, bisexual, transgender) untuk berhijrah.

Mereka banyak membantu golongan ini dengan memberi kesedaran dan pendidikan agama terutamanya melalui program-program seperti usrah dan mukhayyam.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk sekali lagi mengucapkan Selamat Hari Kerja Amal Antarabangsa kepada semua pertubuhan-pertubuhan Islam/NGO yang sentiasa bersedia untuk membantu agensi-agensi agama dalam menjayakan agenda dakwah dan kebajikan kepada masyarakat Islam.

- Advertisement -

Melakukan amalan kebajikan merupakan satu perkara mulia dalam ajaran Islam.

Di dalam al-Quran dan al-Sunnah terdapat banyak nas-nas yang menekankan kepada konsep tolong menolong dan mencukupkan keperluan dalam kalangan ahli masyarakat.

Di antaranya, firman Allah:

فَـَٔاتِ ذَا ٱلۡقُرۡبَىٰ حَقَّهُۥ وَٱلۡمِسۡكِینَ وَٱبۡنَ ٱلسَّبِیلِۚ ذَ ٰ⁠لِكَ خَیۡرࣱ لِّلَّذِینَ یُرِیدُونَ وَجۡهَ ٱللَّهِۖ وَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ

Maksudnya: “Maka (bagi menyatakan sikap syukur) berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing, pemberian yang demikian adalah baik bagi orang yang bertujuan memperoleh keredhaan Allah, dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.” (Surah al-Rum: 38)

Rasulullah SAW juga senantiasa menggalakkan umatnya untuk melakukan kebajikan kepada orang lain dalam bentuk menghulurkan pertolongan dan seumpamanya. Dalam salah satu hadis, Baginda SAW bersabda:

أحبُّ الناسِ إلى اللهِ أنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ ، و أحبُّ الأعمالِ إلى اللهِ عزَّ وجلَّ سُرُورٌ يدْخِلُهُ على مسلمٍ ، أوْ يكْشِفُ عنهُ كُرْبَةً ، أوْ يقْضِي عنهُ دَيْنًا، أوْ تَطْرُدُ عنهُ جُوعًا

Maksudnya: “Yang paling disukai Allah ialah mereka yang paling bermanfaat kepada manusia yang lain. Tingkahlaku yang paling disukai ialah yang menggembirakan orang Islam yang lain atau meringankan bebannya atau melangsaikan hutangnya atau menyelamatkannya dari kelaparan.” (Hadis hasan riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsath, no.6026)

Pertolongan Allah juga turut berserta orang-orang yang membantu saudara-saudara mereka. Hal ini disebutkan oleh Nabi SAW dalam hadis yang lain:

مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنيَا نَفَّسَ اللهُ عنهُ كربَةً مِنْ كُرَبِ يومِ القيَامَةِ ومنْ يسَّرَ عَلى مُعسِرٍ يسَّرَ اللهُ عليهِ فِي الدُنيَا والآخِرَةِ ومَنْ سَتَرَ مُسْلِماً سَتَرَهُ اللهُ فِي الدُّنيَا والآخِرَةِ واللهُ فِي عَوْنِ العَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عونِ أخيهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang meringankan daripada seorang mukmin satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah SWT akan meringankan daripadanya satu kesusahan daripada kesusahan di Hari Kiamat. Sesiapa yang memudahkan kepada orang yang kesempitan, Allah akan memudahkan kepadanya di dunia dan akhirat. Sesiapa yang menutup (aurat atau keaiban) seorang muslim, Allah akan menutup (aurat atau keaiban) nya di dunia dan akhirat. Allah sentiasa menolong seseorang hamba selama mana hamba itu menolong saudaranya.” (Sahih Muslim, no.2699)

Jika kita membaca tentang sejarah Islam generasi yang awal, kita akan mendapati bahawa aktiviti kebajikan ini menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka.

Sebagai contoh, Masjid Nabawi di Madinah telah dibina oleh orang-orang Islam yang secara sukarela menyumbang tenaga ke arah pembinaan masjid tersebut.

Mereka bekerja tanpa upah, bahkan bersama-sama melakukan infak bagi menyempurnakan pembinaan masjid itu.

Amal kebajikan juga turut terserlah melalui sikap golongan Ansar yang secara sukarela membantu golongan Muhajirin dengan memberikan tempat tinggal, makanan serta berbagai keperluan lain, sehingga golongan yang berhijrah itu dapat mencari pekerjaan dan membina hidup baru.

Allah S.W.T memuji sikap ini di dalam al-Quran:

وَٱلَّذِینَ ءَاوَوا۟ وَّنَصَرُوۤا۟ أُو۟لَـٰۤىِٕكَ هُمُ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ حَقࣰّاۚ لَّهُم مَّغۡفِرَةࣱ وَرِزۡقࣱ كَرِیمࣱ

Maksudnya: “Dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia.” (Surah al-Anfal: 74)

Jadi, bolehlah dikatakan bahawa masyarakat Islam yang awal itu dibina berasaskan kepada cara hidup tolong menolong, bantu membantu dan lengkap melengkapi. Amal kebajikan telah sebati dalam diri mereka atas dasar persaudaraan iman dan ketakwaan kepada Allah SWT.

Akhir sekali, Allah SWT menjanjikan kehidupan yang baik di dunia dan akhirat bagi orang-orang yang beriman dari kalangan lelaki dan perempuan yang beramal soleh sebagai simbol kebajikan untuk diri setiap hamba itu. Firman Allah SWT:

(مَنۡ عَمِلَ صَـٰلِحࣰا مِّن ذَكَرٍ أَوۡ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤۡمِنࣱ فَلَنُحۡیِیَنَّهُۥ حَیَوٰةࣰ طَیِّبَةࣰۖ وَلَنَجۡزِیَنَّهُمۡ أَجۡرَهُم بِأَحۡسَنِ مَا كَانُوا۟ یَعۡمَلُونَ)

Maksudnya: “Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.” (Surah al-Nahl: 97)

Semoga lebih ramai masyarakat Islam akan mendapat manfaat daripada kerjasama yang erat antara agensi-agensi agama dan NGO berteraskan Islam. Kerajaan tidak akan mampu melaksanakan kerja-kerja dakwah dan kebajikan dengan berkesan tanpa dukungan daripada semua pihak.

YB DATUK AHMAD MARZUK SHAARY
5 September 2021 / 27 Muharram 1443 – HARAKAHDAILY 5/9/2021

- Advertisement -