Tempoh baharui lesen, cukai jalan dilanjut 31 Dis

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) amat peka dengan maklum balas dan kesukaran orang ramai baru-baru ini dalam menggunakan perkhidmatan agensi-agensi di bawahnya seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

Sehubungan itu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, MOT telah memutuskan untuk memberi pelanjutan terhadap tempoh pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) sehingga 31 Disember 2021.

“Selaras dengan keputusan ini, mana-mana pemilik LKM dan LMM yang telah tamat tempoh sah tidak akan dikenakan tindakan penguatkuasaan dan pematuhan oleh pihak JPJ serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga 31 Disember 2021,” ujarnya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook beliau, hari ini.

- Advertisement -

Katanya, pemilik LKM yang telah tamat tempoh sah perlu memastikan kenderaan masing-masing dilindungi insurans yang sah.

Tambahnya, Sijil Perlindungan Insurans (e-cover note) yang sah perlu dipaparkan dan ditunjukkan bagi tujuan pemeriksaan.

Selain daripada itu, ujarnya MOT mengambil inisiatif terhadap keperluan orang ramai menerusi pengoperasian semua kaunter JPJ di seluruh negara dan juga kaunter rakan strategik JPJ (Puspakom) dengan kapasiti 100 peratus secara walk-in mulai 6 September ini.

Menurutnya, antara lain ia bertujuan memastikan orang ramai dapat melaksanakan urusan pembaharuan LKM dan LMM dengan lancar dalam tempoh pelanjutan yang dibenarkan.

Beliau mengingatkan pelanggan yang ingin berurusan di kaunter JPJ mestilah mendapat vaksinasi lengkap sebagai langkah berjaga-jaga yang diperlukan bagi menjaga kesihatan dan keselamatan orang ramai termasuk kakitangan yang bertugas.

Katanya lagi, pada masa yang sama, pelawat juga perlu menunjukkan status Risiko Rendah Covid-19 menerusi aplikasi MySejahtera.

Menurut beliau, mulai 6 September juga, JPJ akan menghentikan sistem janji temu dalam talian untuk memberi sokongan kepada pelanggan yang menerima vaksinasi lengkap untuk berurusan di kaunter JPJ.

Dalam masa sama, ujarnya orang ramai digalakkan menggunakan perkhidmatan dalam talian menerusi portal mySIKAP JPJ (https://public.jpj.gov.my), atau melalui portal dalam talian rakan-rakan strategik JPJ yang lain seperti Pos Malaysia Berhad, MyEG dan PUSPAKOM, untuk membuat apa-apa transaksi JPJ yang berkaitan.

Ini, jelas beliau bertujuan mengelakkan kesesakan di kaunter JPJ serta memberi kemudahan dan kesenangan kepada orang ramai dalam membuat transaksi pembaharuan LKM dan LMM.

“MOT ingin mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ketika berurusan di mana-mana kaunter JPJ termasuk memakai pelitup separuh muka, menggunakan cecair pembasmi kuman atau hand sanitizer, mengamalkan penjarakan fizikal dan mendaftar masuk atau check-in menggunakan aplikasi MySejahtera,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 3/9/2021

- Advertisement -