Covid: 987 kes di Terengganu, tertinggi pernah direkod

Datuk Dr Kasemani Embong
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kes baharu Covid-19 di Terengganu mencatatkan 987 kes semalam iaitu angka tertinggi sejak pandemik bermula dan dijangkakan kes terus meningkat dalam dua minggu akan datang, kata Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong.

Beliau berkata peningkatan kes itu disebabkan beberapa faktor antaranya saringan kontak rapat dan saringan pengesanan kes aktif (ACD) bersasar di beberapa lokaliti di seluruh negeri.

- Advertisement -

Dr Kasemani berkata Kuala Terengganu merekodkan kes tertinggi iaitu 266 kes diikuti Marang (171), Besut (166), Kemaman (117), Kuala Nerus (100), Dungun (86), Hulu Terengganu (42) dan Setiu (39).

“Selain itu, peningkatan juga kerana kita melakukan saringan wajib kemasukan ke penjara dalam kalangan Orang Kena Tahan (OKT), saringan pekerja dari tapak bina, aktiviti merentas negeri dan juga aktiviti perkumpulan,” katanya dalam catatan menerusi laman Facebook hari ini.

Ketika ini, Terengganu mempunyai 6,224 kes positif Covid-19 dan jumlah kumulatif pula ialah sebanyak 34,985 kes. – BERNAMA

- Advertisement -