Tidak putus-putus sumbangan diterima penduduk Yan

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

YAN: Kerajaan negeri akan mengikuti perkembangan dari semasa ke semasa untuk melihat keperluan asas di Yan dan Kuala Muda yang terkesan dengan kejadian kepala air Gunung Jerai, 18 Ogos lalu.

- Advertisement -

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, setakat ini bantuan keperluan kepada penduduk yang terjejas di Yan, Gurun dan Tupah sudah mencukupi.

Menurutnya, bantuan serta sumbangan tidak putus-putus dari pelbagai pihak dalam dan luar negeri.

“Kebanyakan peralatan rumah yang rosak, kita sumbangkan yang baharu termasuk dapur dan tong gas,” ujar beliau di Kampung Aceh, Yan, kelmarin.

Sehubungan itu pihaknya turut mengalu-alukan sumbangan 400 almari yang akan disumbangkan oleh Lembaga Pertubuhan Peladang dalam tempoh terdekat.

Sungguhpun begitu tambah beliau, untuk kembali kepada keadaan asal, tentunya akan mengambil masa agak lama.

“Walau bagaimanapun keperluan itu akan diambil cakna kerajaan malah dibantu badan bukan kerajaan (NGO), parti politik dan lain-lain di kedua-dua daerah terbabit,” katanya.

Berikutan itu, Sanusi mengucapkan ribuan terima kasih di atas keprihatinan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan di atas peruntukan tambahan sebanyak RM2.8 juta untuk membantu petani dan pesawah.

Katanya tidak dinafikan kejadian 18 Ogos lalu turut mengakibatkan tanah pertanian dan sawah padi turut terjejas.

“Seluas 38 hektar sawah padi ditimbus tanah lumpur, terdapat paip saliran yang putus dan taliair terkambus.

“Kalau ikut Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), kerosakan padi seperti padi rebah atau rosak, petani akan menerima bantuan RM3,000 setiap satu hektar,” kata beliau.

Dalam perkembangan lain, katanya, peruntukan RM50 juta khas untuk membaik pulih infastruktur belum lagi dimulakan dan kemungkinan akan mengambil sedikit masa.

Manakala laluan naik ke Gunung Jerai telah dibaiki dan boleh digunakan. – HARAKAHDAILY 2/9/2021

- Advertisement -