Segerakan Akta Anti Lompat Parti

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Akta Anti Lompat Parti perlu disegerakan demi suara rakyat yang dilanggar oleh ahli legislatif, kata Pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Wan Rohila Ganti Wan Abdul Ghapar.

Menurutnya, ahli legislatif perlu sedar dalam sistem demokrasi berparlimen, pengundi memilih parti, dan bukannya batang tubuh Ahli Parlimen tersebut.

- Advertisement -

Justeru, perbuatan melompat parti sesuatu yang sangat mengecewakan pengundi, katanya kepada Harakahdaily, semalam, ketika diminta mengulas berhubung cadangan ‘transformasi parlimen’ yang mengetengahkan Akta Anti Lompat Parti.

Tambah Dr Wan Rohila, Akta Anti Lompat parti merupakan desakan kuat dari pelbagai pihak yang peka dengan kestabilan politik negara.

“Rakyat sendiri yang sebelum ini kurang cakna mengenai perjalanan pindaan RUU (Rang Undang-Undang), kini mula mendesak agar Akta Anti Lompat parti segera dibahaskan dan diluluskan di Parlimen,” katanya.

Bahkan kata Dr Wan Rohila, semua pemegang taruh dan pembayar cukai sedar ketidakstabilan politik yang berlaku sejak Februari tahun lalu adalah kerana Ahli Parlimen melompat parti.

Kemudian, bermula ‘game of numbers‘ yang langsung tidak melibatkan kemaslahatan rakyat.

“Amalan melompat parti perlu dihalang, walau mana-mana parti melakukannya,” katanya.

Menurut beliau usai Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, trend melompat parti dalam kalangan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mula berlaku dengan ketara, sekali gus menjatuhkan kerajaan sah di Perak.

Kongsinya, pada September 2008, usaha menjatuhkan kerajaan yang sah diuar-uarkan akan berlaku, namun berjaya dihalang.

Jelasnya lagi, lompat parti ini juga semakin ketara berlaku tanpa segan silu atas nama demi kebaikan rakyat selepas PRU-14, dan Februari 2020.

Katanya, sekiranya Akta Anti Lompat parti diluluskan Parlimen Malaysia, ini akan menggambarkan kematangan berpolitik kerajaan dan kesungguhan untuk mengangkat legitimasi suara rakyat.

Sementara itu, mengulas berhubung penetapan tempoh khusus untuk ketua negara menjalani tugas, kata Wan Rohila, cara itu telah dipraktik secara meluas di negara-negara republik, namun tidak di negara-negara demokrasi berparlimen.

Bagaimanapun, menurutnya ia adalah satu langkah yang sangat disanjung kerana melambangkan integriti dan kecekapan yang dijunjung tinggi.

“Menetapkan tempoh dua penggal (10 tahun) kepada Perdana Menteri dikira sudah lebih dari cukup untuk beliau merancang dan merealisasikan hasrat dan misi beliau.

“Banyak sarjana sains politik mengatakan penetapan had masa ketua negara mengelakkan berlakunya amalan ketirisan, kronisme, dan ketepuan dasar yang dinamik dan inovatif,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/9/2021

- Advertisement -