Ramai takut sahut cabaran ceburi keusahawanan

Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Noor Azizi Ismail
- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

BACHOK: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menetapkan enam teras utama bagi memacu kecemerlangan untuk mencapai misi dan visi sebagai Universiti Keusahawanan tersohor di peringkat global.

Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Noor Azizi Ismail berkata, enam teras itu ditetapkan melalui Pelan Strategik UMK (PSU) 2021-2025.

- Advertisement -

Enam teras tersebut merangkumi keunggulan pelajar, kelestarian kewangan, keunggulan bakat, kecemerlangan penyelidikan dan inovasi.

Selain itu kerelevanan program akademik dan pengantarabangsaan serta kebitaraan keusahawanan.

Katanya, enam teras itu disokong dengan 16 objektif strategi, 54 inisiatif strategi, di samping 22 Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

Kata beliau pada masa yang sama ia disokong 77 kaedah pengukuran dinamik dan mengikut kesesuaian semasa bagi memastikan enam teras tersebut dapat direalisasikan dalam tempoh berkenaan.

“Pemantauan PSU juga berdasarkan kepada pencapaian KPI yang disejajarkan dengan KPI Minister Performance Indicators (MPI), Outcome Based Budgeting (OBB) dan Keusahawanan pada peringkat kementerian.

“Universiti berharap pelan strategik yang digaris dapat dijayakan oleh warga UMK bagi merealisasikan hasrat UMK menjadi Universiti Keusahawanan tersohor,” katanya pada Pelancaran Pelan Strategik UMK 2021-2025 secara atas talian menerusi Facebook UMK baru-baru ini.

Majlis pelancaran PSU 2021-2025 disempurnakan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Dato’ Dr Hussamuddin Yaacub.

Dr Noor Azizi juga berkata, objektif PSU untuk menyokong agenda pembangunan Kementerian Pengajian Tinggi yang berhasrat menjadikan Malaysia sebagai hab pengajian tinggi yang terunggul melalui PPT 2015-2025.

Menurut Hussamuddin pula era sekarang golongan yang mempunyai ciri-ciri keusahawanan diperlukan dalam pasaran kerjaya.

Menurutnya, mereka diyakini mampu untuk menghadapi cabaran yang sentiasa berubah khususnya berkaitan sektor ekonomi.

Namun tambahnya, masih ramai yang takut untuk menyahut cabaran bagi meletakkan ‘kepala mereka’ pada risiko yang mendatang.

“Ramai di kalangan kita takut kepada kegagalan dan lebih rela mengambil jalan selamat dengan tidak melakukan apa-apa daripada membuat kesilapan.

“Mentaliti ini tidak boleh ada di UMK kerana warga UMK harus berjiwa besar, harus menginginkan sesuatu di luar jangkaan dan bekerja keras bagi memastikan keinginan tersebut tercapai,” katanya.

Beliau berharap, warga UMK dapat menghayati intipati Pelan Strategik UMK 2021-2025 dan dijadikan sebagai sumber rujukan utama dalam melaksanakan dasar pembangunan universiti. – HARAKAHDAILY 2/9/2021

- Advertisement -