Rakyat mahu parti berteraskan Melayu-Islam bermuafakat

- Advertisement -

MUKADIMAH

Selangor sebagai negeri paling maju dan kaya di negara ini boleh dianggap sebagai lubuk emas. Parti yang memerintah kerajaan negeri tidak berdepan kekangan kewangan untuk menguruskan pentadbiran negeri. Lantas perkembangan politik di Selangor sentiasa mendapat perhatian. Harakah Daily, mendapatkan pandangan Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, mengenai pelbagai isu di Selangor. Dilahirkan pada tahun 1965, anak jati Sijangkang adalah lulusan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan dari Universiti Malaya dan pernah bertugas di beberapa hospital di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia. Beliau mewakili Dewan Undangan Negeri Sijangkang sejak 2008. Ikuti pandangan beliau kepada wartawan Harakah Daily, ZIAUDDIN SHARUDDIN.

- Advertisement -

Soalan (S): Bagaimana Dato’ melihat kedudukan PAS di Selangor secara keseluruhan.

Jawapan (J): Alhamdulillah, di Selangor kita mempunyai 22 kawasan. Sebahagian besar PAS kawasan, saya boleh katakan aktif dengan jumlah cawangan yang sangat baik, iaitu kira-kira 900 cawangan. Jumlah keahlian pula kira-kira 100,000 orang. Parti masih lagi dalam proses pemutihan ahli kerana pelbagai faktor seperti ada yang meninggal dunia atau keluar parti dan lain-lain. Sudah ada kawasan berjaya melakukan pemutihan 100 peratus.

Dalam muktamar yang lepas, kita telah meluluskan penubuhan Dewan Ulamak di peringkat kawasan. Di seluruh Selangor, semua kawasan sudah ada Jawatankuasa Penaja dan hanya menunggu kelulusan ROS (Pendaftar Pertubuhan) untuk penubuhan Dewan Ulamak PAS kawasan.

Dari segi perjuangan parti, kita tidak lihat hanya soal siasah atau politik, tetapi soal tarbiah dan dakwah. Yang penting ialah akhirnya matlamat perjuangan kita demi Islam dan mendapat keredaan Allah SWT. Sudah tentu tanggungjawab kita yang utama untuk meletakkan politik islam sebagai bentuk politik yang terbaik.

PAS di seluruh Selangor sangat aktif. Cuma mungkin di sesetengah kawasan seperti Damansara, walaupun ada cawangan dan ahli, saya ingat tidak sehebat beberapa kawasan seperti Sepang, Kuala Langat, Klang, Kapar, Kuala Selangor dan Tanjung Karang, Sungai Besar dan Sabak Bernam.

Setakat ini, perkembangan PAS cukup cantik. Kalau kita lihat kekuatan dalam setiap Pilihan Raya Umum (PRU), kita mempunyai jentera yang sangat ampuh. Walaupun sumber kewangan tidak besar, jentera kita cantik. Alhamdulillah, boleh saya katakan dalam PRU lalu, setanding dengan parti lain seperti dari segi persiapan peralatan dan sepanduk. Kalau tengok kawasan yang kita tak menang pun seperti di Sabak Bernam, bendera yang dipamerkan cukup hebat.

PAS pernah menang di Selangor, kita ada kekuatan sendiri. Pada PRU ke-12 ( 2008), kita ada 8 kerusi, manakala pada PRU ke-13 (2013) kita ada 15 kerusi. Bagaimanapun pada PRU ke-14 (2018), gelombang politik ketika itu menyebabkan cuma dapat 1 kerusi. Dari segi jumlah undi, tidaklah terlalu teruk. Walaupun di beberapa kawasan, undi Umno lebih banyak, tetapi saya tengok dari segi kekuatan seperti di Kapar, PAS mendapat jumlah undi kedua tertinggi selepas PH dalam PRU lalu, melebihi jumlah undi Umno. Jadi di Selangor, PAS mempunyai kekuatan sendiri.

S: Apa analisis lebih detail Dato mengenai prestasi PAS dalam PRU ke-14, menang 1 kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) dan kalah di semua kerusi Parlimen yang ditandingi.

J: Gelombang politik dalam PRU ke-14 bukan hanya di Selangor, tetapi seluruh negara. Di kawasan yang demografi penduduk mempunyai ramai pengundi Melayu, kedudukan PAS lebih stabil dan baik.

Bagaimanapun, Selangor mempunyai jumlah pengundi Melayu dan bukan Melayu yang lebih kurang sama. Dalam PRU lalu, kita hampir tidak mendapat undi kaum Cina dan sedikit kaum India.

Keadaan berbeza berbanding ketika PAS bersama Pakatan Rakyat. Kita mendapat sokongan kaum Cina dan India, lantas menang antara 8 hingga 15 kerusi. Dalam PRU lalu, kita juga banyak kehilangan undi anak muda. Pertandingan 3 penjuru pula memecahkan undi Melayu. Pada masa sama, undi kaum Cina solid kepada DAP dan PH.

S: Dato’ katakan bahawa undi bukan Melayu tidak berpihak kepada PAS dalam PRU lalu. Bolehkah trend ini berubah.

J: Saya lihat dalam tempoh terdekat agak sukar kerana keyakinan orang Cina kepada DAP agak menebal. Trendnya saya lihat akan begitu untuk beberapa ketika yang agak lama. Pengundi India agak berbeza sedikit. Tetapi untuk mengharapkan undi orang Cina mungkin agak payah. Saya mempunyai hubungan baik dengan sahabat kaum Cina yang mrenyokong kita. Mereka beritahu dalam PRU lalu, pada peringkat awal adalah positif, tapi apabila semakin dekat PRU, mereka kata habislah. Sokongan yang akan dapat, banyak itu lah, tetapi betul apa yang disebutkan jadi begitu (keputusan PRU). Sukar untuk mendapatkan sokongan orang Cina kecuali apabila kita mendapat kuasa dan menunjukkan pentadbiran yang terbaik, mungkin keyakinan mereka akan datang balik.

Sebenarnya ramai juga undi masyarakat Cina yang mula menolak DAP dan PH kerana prestasi 22 bulan mentadbir Malaysia menghampakan mereka.

S: Dalam PRU lalu di Parlimen Sungai Besar, gabungan jumlah undi calon PAS dan Umno (48.9%) adalah lebih besar berbanding calon yang menang dari PKR (35.6%). Keadaan sama berlaku di beberapa Parlimen dan Dun lain. Pandangan Dato’.

J: Sebelum PRU lalu, pimpinan parti juga sudah menjangka keadaan ini akan berlaku. Hasil keputusan PRU lalu, apabila parti yang berasaskan Melayu-Islam tidak ada kebersamaan, perpecahan undi berlaku hingga menyebabkan kita hilang kuasa. Keadaan ini juga bukan hanya di Selangor, malah di peringkat pusat. Sebab itu, suatu perkara yang sangat baik lahirnya inisiatif perpaduan ummah.

Di Selangor, ia bermula dengan penubuhan Muafakat Nasional, kerjasama PAS dan Umno. Kerjasama di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Kandis dan Seri Setia, membuka mata di peringkat akar umbi untuk melihat bahawa ini sebenarnya yang rakyat mahu. Akhirnya kita menunjukkan di PRK Dun Semenyih apabila PAS dan Umno bersama melawan Bersatu. Kita menang sedangkan Bersatu sebelum itu menang di Semenyih dalam PRU lalu. Malah jumlah undi diterima lebih besar melebihi jangkaan.

Sebab itu di Selangor, kita tidak boleh ada pertandingan 3 penjuru. Jika berlaku juga, kita letih dan akan balik kepada keadaan ketika PRU-14. Tanpa perpaduan ummah, mungkin PAS tidak ada satu kerusi pun akan menang. Umno juga akan begitu. Rakyat meluat jika kita berpecah. Melalui perpaduan ummah, tidak mustahil parti berasaskan Melayu-Islam akan dapat kembali memegang tampuk pimpinan negeri.

S: Jadi Dato’ melihat sangat penting, parti berasaskan Melayu-Islam, PAS, Umno dan Bersatu, bersepakat dalam PRU akan datang.

J: Saya ingat perkara ini adalah realiti. Kita sudah ada pengalaman, kekalahan itu sebagai pengajaran kepada kita. Mesej dari pusat juga melihat keadaan begitu. Hari ini, apa yang didasarkan oleh pusat ialah supaya perkasakan Muafakat Nasional dan pertahankan Perikatan Nasional (PN), kerjasama PAS, Umno dan Bersatu.

Kebersamaan ini perlu dijaga untuk menghadapi PRU akan datang. Saya tak boleh nafikan bahawa Umno mempunyai kekuatan sendiri. Umno juga tak boleh menafikan bahawa PAS mempunyai kekuatan sendiri. Dia faham, saya pun faham. Jika kita tidak bersatu, kita tidak akan ke mana. Bersatu juga tahu kekuatan sebagai sebuah parti yang mungkin kalau kita nak katakan baharu wujud, tetapi membawa impian sama yang kita harus bersama-sama. Kita pun tahu di Selangor ada kekuatan. Ini yang perlu dijaga. – Ikuti wawancara penuh di Harakah Cetak Keluaran Isnin 6 September.

- Advertisement -