Kos baikpulih kerosakan dan peralatan bernilai RM2.5 juta

- Advertisement -

Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kajian awal kos membaikpulih kerosakan dan penggantian peralatan baharu akibat paip pecah di dasar Sungai Terengganu yang melibatkan dua daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu, hingga menjejaskan 29,151 akaun pengguna Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) itu dijangka RM2.5 juta keseluruhannya.

Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, susulan kejadian itu paip utama berukuran 1,200 mm diameter akan dibaiki dengan segera dan dijangka siap sepenuhnya pada 12 September 2021.

Dalam masa sama, katanya kerajaan akan mempercepatkan pengoperasian Loji Rawatan Air Bukit Berapit yang dijangka dapat beroperasi pada 14 September 2021 dengan kapasiti 50 peratus atau 60 MLD pada peringkat permulaan ini.

“Pihak SPAN dan kerajaan negeri Terengganu akan memastikan semua kawasan yang terjejas terus mendapat bekalan menerusi 36 buah lori tangki, 113 buah lori-lori kecil dan penyediaan 357 tangki statik serta 152 buah pili air.

“Saya ingin mengucapkan tahniah atas tindakan pantas dan komunikasi berkesan Syarikat Air Terengganu (SATU) dan semua agensi yang terlibat dalam memastikan semua penduduk terus mendapat bekalan airnya.

“Saya juga menyambut baik pengumuman YAB Menteri Besar Terengganu (Dr Samsuri) yang telah menubuhkan Jawatankuasa Khas bagi menyiasat insiden kejadian paip pecah ini. Jawatankuasa Teknikal SPAN juga akan melakukan penyiasatan menyeluruh agar perkara ini tidak berulang lagi di masa hadapan.

“Kos keseluruhan pembaikian kerosakan dan peralatan baharu yang dibeli daripada Australia dan Itali itu bernilai RM2.5 juta,” ujarnya ketika lawatan kerja Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dan CEO Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) ke lokasi paip pecah dasar Sungai Terengganu, di Kampung Losong Musium, Kuala Terengganu, hari ini.

Menurut Dato’ Seri Tuan Ibrahim, KASA akan bekerjasama dengan semua kerajaan negeri bagi memastikan isu berkaitan aktiviti-aktiviti di kawasan sungai seperti perlombongan pasir diberi perhatian sepenuhnya.

“Bagi membolehkan aktiviti sedemikian dikawal selia dengan lebih teratur khususnya perlombongan pasir sungai, semua pihak perlu mengguna pakai Garis Panduan Pengambilan Pasir Sungai (Pindaan 2020) telah dikeluarkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Garis panduan ini telah dipersetujui oleh semua kerajaan negeri semasa Mesyuarat Majlis Sumber Air Negara (MSAN) ke-10 pada 15 Oktober 2015 lalu. Garis Panduan ini bertujuan, mewujudkan panduan yang seragam dan lebih inklusif bagi memproses permohonan pengambilan pasir sungai di seluruh Malaysia dengan mengambilkira keseimbangan ekosistem dan morfologi sungai.

“Garis Panduan ini juga bertindak sebagai salah satu kaedah dalam menetapkan kuantiti pasir yang boleh dikeluarkan dalam satu jangkamasa yang ditetapkan dan mekanisma pemantauan yang perlu dijalankan,” jelasnya.

Katanya, pihak JPS bersama Pentadbir Tanah Daerah, Agensi Berkuasa Negeri akan membuat pemantauan, pengawasan dan pemeriksaan dari semasa ke semasa serta melaporkan kepada pihak berkuasa yang berkaitan bagi tindakan lanjut.

Menurut beliau, dengan adanya Garis Panduan Pengambilan Pasir Sungai (Pindaan 2020) ini, diharap akan memberi satu panduan yang jelas kepada pengusaha pasir, pentadbir tanah dan pihak-pihak berkaitan.

Harakah dimaklumkan, pada 23 Ogos 2021 yang lalu, telah berlaku kegagalan paip utama di dasar Sungai Kuala Terengganu melibatkan paip bersaiz 1,200 mm dari Loji Rawatan Air Kepong II, yang membekalkan air ke Tangki Utama Berangan, Tepoh.

Kejadian krisis air kali kedua dalam tempoh sebulan itu telah menjejaskan hampir 150,000 penduduk di dua daerah berkenaan serta melibatkan enam Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Tepoh, Buloh Gading, Bukit Tunggal, Seberang Takir, Manir dan DUN Batu Rakit.

Hadir sama, Pengerusi SPAN, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga, Wanita dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat, CEO SPAN, Dato’ Faizal dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili. – HARAKAHDAILY 2/9/2021

- Advertisement -