Jangan selewengkan fakta kerana mahu menang kes

- Advertisement -

NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 8)

IBN Abi Syaibah dan Abu Sa’id An-Naqqash mengeluarkan daripada Ummu Salamah rha, katanya: “Dua orang lelaki Ansar menemui Nabi, bertelingkah mengenai harta pusaka (mungkin rumah, tanah atau lain-lain) yang sudah binasa, rosak dan tidak ada bukti ia hak siapa”.

Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya kamu bertelingkah mengadu kepadaku. Aku hanya menjatuhkan hukuman berdasarkan pandangan aku dalam perkara yang tidak turun wahyu kepadaku mengenainya.

“Sesiapa yang aku jatuhkan hukuman menjadi manfaat untuknya, berdasarkan hujahnya,  sedangkan dia sebenarnya mengambil sesuatu dari hak saudaranya, maka dia jangan mengambilnya kerana sebenarnya aku memotong untuknya satu potongan dari neraka. Potongan itu akan tiba di hari kiamat dalam keadaan berada di tengkuknya.”

- Advertisement -

Mendengarkan kata-kata Nabi SAW, mereka berdua menangis. Masing-masing berkata: “Wahai Rasulullah! Berikan hak aku kepadanya”.

Nabi SAW bersabda: “Jika kamu buat apa yang kamu buat, maka pergilah, dan cari penyelesaian yang sebenar. Berbahagilah, dan undilah. Setiap orang dari kamu berdua hendaklah menghalalkan kawannya”. (Hayatus-Sahabah, Al-Kandahlawi 2/91-92)

Beberapa pengajaran:

1) Nabi SAW menjadi tumpuan para sahabat mencari penyelesaian dan jawapan. Masalah yang dikemukakan pula pelbagai. Ada yang mengadu mengenai hukum berkaitan darah haid, hal ehwal rumah tangga, pertikaian mengenai laluan air di kebun, cara pembahagian harta rampasan perang dan lain-lain.

2) Di zaman Nabi, Baginda bertindak sebagai kuasa eksekutif, legislatif, panglima perang, qadi, mufti dan sebagainya. Ketika itu, belum ada pembahagian kuasa. Selepas Nabi, ia berkembang hingga ke zaman kita dengan pembahagian bidang kuasa agensi-agensi yang pelbagai.

3) Harta pusaka kadang kala menjadi harta puaka. Adik-beradik bergaduh. Anak beranak bertumbuk. Saudara mara putus silaturahim disebabkan berebut bahagian harta pusaka yang sedikit.

4) Jika ada wahyu turun, Nabi berhukum menurutnya. Namun, jika tiada, Nabi berhukum menurut apa yang didengar. Kaedahnya: “Kita berhukum menurut apa yang zahir. Allah yang menguruskan perkara yang batin”.

5) Membawa kes ke mahkamah tidak salah apabila bertujuan mengambil hak sendiri dengan sebenar, mengembalikan hak kepada empunya hak atau menolak kezaliman dan menegakkan keadilan. Yang salah ialah apabila bahan bukti, fakta kes, dokumen, saksi diselewengkan, dipalsukan, dibohongi hanya semata-mata mahu menegakkan benang yang basah, agar yang bersalah terlepas dari hukuman dunia.

6) Menurut kaedahnya: ‘Tersilap melepaskan orang yang bersalah lebih baik dari menjatuhkan hukuman kepada orang yang tidak bersalah.’ Namun, perlu diingat, orang yang bersalah tetap tidak akan terlepas di mahkamah Rabbul Jalil di akhirat. – HARAKAHDAILY 2/9/2021

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.

- Advertisement -