DMPM sambut baik inisiatif menteri agama

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) menyambut baik lima inisiatif mantap yang bakal dilaksanakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad dengan tema ‘Bersama Agensi Islam menyantuni Keluarga Malaysia mendepani Covid-19’.

Ketuanya, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, lima inisiatif yang disebut dalam ucapan sulung menteri itu semalam meliputi aspek spiritual dan fizikal ke arah pembangunan dan pemantapan semua 14 agensi kerajaan di bawah jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) antaranya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Lembaga Tabung Haji, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia dan Yayasan Waqaf Malaysia.

Advertisement

Katanya, inisiatif pemantapan sistem pendidikan Islam dan pemantapan institusi kekeluargaan merupakan inisiatif penting terhadap golongan wanita.

“Justeru itu DMPM memberi perhatian khusus terhadap inisiatif ini,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, masalah keciciran pelajaran dalam bidang agama salah satunya berpunca daripada kesukaran pihak sekolah untuk memantau penguasaan ilmu fardu ain dan Al-Quran dalam kalangan pelajar.

Tambahnya, satu mekanisme yang bertepatan dengan norma baharu haruslah dikaji dan dilaksana secara proaktif agar masalah itu dapat diatasi dalam kalangan pelajar Muslim.

Beliau berkata, mekanisme untuk mengatasi keciciran pelajaran agama mestilah merangkumi golongan orang kelainan upaya (OKU) dan muallaf.

“Institusi kekeluargaan mestilah dilindungi. Antara permasalahan utama yang harus diselesaikan dengan kadar segera adalah operasi Mahkamah Syariah yang tergendala akibat daripada Perintah Kawalan Pergerakan,” ujarnya lagi.

Justeru, ujar beliau DMPM mencadangkan kerjasama antara Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri bagi menyelesaikan permasalahan yang bersangkutan institusi keluarga itu secara segera dan menyeluruh.

Kata beliau, DMPM juga mencadangkan agar peranan dan idea profesional wanita dimanfaatkan sebaiknya dalam mengangkat isu-isu khusus bersangkutan kekeluargaan.

Menurutnya lagi, DMPM yakin pengalaman luas Idris akan dapat membantu mengemudi portfolio yang bertanggungjawab ke atas institusi-institusi harapan umat Islam. -HARAKAHDAILY 2/9/2021