Bukan tangguh, terus batalkan menyahwartakan HSKLU

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: PAS mendesak kerajaan Selangor supaya akur kepada kehendak rakyat dengan membatalkan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU).

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata kerajaan negeri tidak lagi boleh berdolak dalik dalam isu yang penting kepada negeri dan penduduk Selangor dengan hanya menangguhkan proses penyahwartaan hutan simpan itu.

- Advertisement -

Katanya, isu hutan simpan itu bukan perkara baharu dan bantahan oleh pelbagai pihak tidak wajar dilihat dari sudut politik, tetapi demi kelestarian alam sekitar dan kebajikan penduduk Orang Asli di situ.

“Saya berpandangan kerajaan negeri sepatutnya bukan hanya menangguhkan menyahwartakan hutan simpan itu, tetapi terus batalkan,” katanya kepada Harakah Daily di sini, hari ini.

Menteri Besar Selangor dilaporkan memberi jaminan untuk menangguhkan proses penyahwartaan HSKLU sehingga kerajaan negeri selesai mempertimbang dan menjelaskan semua isu yang dibangkitkan.

Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil, berkata Biro Politik yang bermesyuarat malam tadi, telah menerima penjelasan Dato’ Seri Amirudin Shari dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian, berhubung isu penyahwartaan HSKLU.

Isnin lalu, ketika Sidang Dewan Negeri Selangor, Loy Sian, dilaporkan berkata keputusan menyahwartakan hutan simpan itu dibuat dalam mesyuarat Exco Selangor pada 5 Mei lalu.

Ini mengejutkan Ahli Dewan Negeri dan juga pelbagai NGO alam sekitar kerana keputusan itu dibuat secara senyap-senyap dan hanya diketahui apabila perkara itu dibangkitkan dalam perbahasan, termasuk oleh Dr Ahmad Yunus.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi

HSKLU yang diwartakan pada 13 Mei 1927 dan terletak di Mukim Tanjung 12, Daerah Kuala Langat, Selangor, menjadi perhatian umum susulan notis penyiasatan awam mengikut Seksyen 11 Akta Perhutanan Negara Enakmen (Pemakaian) 1985 (Subkaedah 7(2)) oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor pada awal tahun 2020.

Notis itu yang bertujuan mendapatkan pandangan umum berikutan cadangan pemansuhan pewartaan hutan tersebut, mencetuskan polemik dalam kalangan masyarakat, terutama komuniti Orang Asli yang bergantung hidup dengan sumber hutan sejak ratusan tahun lamanya.

Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir, berkata mustahil pucuk pimpinan PKR tidak mengetahui isu menyahwartakan HSKLU yang berlarutan sejak awal tahun lalu.

Katanya, proses menyahwartakan tidak berlaku sekelip mata, tetapi melalui beberapa prosedur seperti sesi penerangan awam dan penyiasatan awam yang keputusannya, masyarakat menolak usaha untuk menyahwartakan hutan simpan itu kerana lebih banyak keburukan yang berlaku.

“Malah terdapat usul yang diluluskan Sidang Dewan Negeri Selangor yang Pesuruhjaya PAS Selangor turut bangkitkan dan membantah tindakan kerajaan negeri,” katanya.

Sehubungan itu, katanya hanya membatalkan menyahwartakan hutan simpan itu akan memastikan hutan simpan yang amat berharga itu dapat dikekalkan. – HARAKAHDAILY 2/9/2021

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!