Takiyuddin komited memperkasa agenda KeTSA

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang memulakan tugas Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) pada hari ini telah diberi taklimat mengenai portfolio, tugas dan tanggungjawab KeTSA serta jabatan dan agensi di bawahnya.

Sehubungan itu, katanya, beliau berkeyakinan dan komited untuk menggalas tanggungjawab dan amanah itu bagi menerajui KeTSA untuk mencapai visi dan misi, memacu inisiatif utama berpaksikan rakyat serta mengutamakan budaya kerja berprestasi tinggi untuk menyokong inisiatif Kerajaan untuk mendepani cabaran pandemik Covid-19 dan pemulihan ekonomi negara.

Menurutnya, KeTSA bertanggungjawab menguruskan industri bekalan elektrik agar diurus secara strategik bagi menjamin pengguna memperoleh perkhidmatan bekalan elektrik yang berdaya harap, mampu bayar dan lestari.

- Advertisement -

Tambahnya, selaras dengan agenda menangani perubahan iklim negara, KeTSA komited untuk meningkatkan penjanaan elektrik daripada sumber Tenaga Boleh Baharu (TBB) melalui Pelan Pembangunan Penjanaan Pembekalan Elektrik 2021-2039. Mengambil kira kepentingan mengimbangi permintaan tenaga dan mengurangkan pelepasan karbon, KeTSA juga akan terus memacu inisiatif kecekapan dan penjimatan tenaga melalui Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Negara.

“KeTSA akan memastikan kekayaan sumber asli terus dijaga, diurus secara mapan dan bertanggungjawab untuk generasi akan datang,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pelbagai strategi dan program seperti pensijilan pengurusan hutan, catuan tebangan tahunan, pelaksanaan amalan terbaik dalam pengusahasilan hutan, pengurusan hidupan liar serta kawasan berkepentingan biodiversiti antarabangsa akan diteruskan dan dipantau secara bersama dengan kerajaan negeri.

Tambahnya lagi, dua inisiatif nasional iaitu Central Forest Spine (CFS) dan Heart of Borneo (HoB) akan terus dilaksanakan untuk melindungi ekosistem hutan, dan biodiversiti.

Beliau berkata, KeTSA akan meneruskan Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Menanam Pokok 100 Juta (2021 hingga 2025) dengan sokongan daripada pelbagai pihak.

Selain itu, ujarnya pemerkasaan usaha-usaha konservasi Harimau Malaya diteruskan untuk memastikan negara tidak akan kehilangan spesies ikonik itu melalui penubuhan Pasukan Petugas Kebangsaan bagi Konservasi Harimau Malaya.

KeTSA juga, katanya telah menyediakan Kerangka Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021-2030 bagi membangunkan industri mineral secara mapan dan lestari.

“Industri ini berpotensi menjadi sumber ekonomi baharu negara dan perlu dibangunkan secara menyeluruh dalam rantaian nilai di peringkat huluan, pertengahan dan hiliran,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.

Beliau menambah, selaku peneraju sektor ekopelancongan sumber asli negara, KeTSA komited bagi memastikan Taman Negara, Taman Ekorimba, Hutan Taman Negeri dan Geotapak terus diperkasakan melalui pengukuhan tadbir urus, naik taraf infrastruktur serta pembangunan modal insan serta penghasilan produk-produk baharu bagi meningkatkan taraf ekonomi setempat.

Kata beliau, pelaksanaan Sistem e-Tanah secara Kerjasama Awam Swasta di negeri-negeri akan terus dilaksanakan bagi meningkatkan kualiti dan prestasi pentadbiran tanah agar lebih efisien dan berintegriti.

Menurutnya, pelaksanaan Sistem e-Tanah itu amat relevan dengan pendekatan norma baharu dalam urusan pentadbiran tanah ketika ini.

Jelas beliau, KeTSA juga akan terus melaksanakan usaha-usaha pencegahan dan mitigasi geobencana melalui pelaksanaan Projek Penghasilan Peta Bahaya dan Risiko Cerun (PBRC).

Katanya, dalam meningkatkan kesiapsiagaan negara menghadapi situasi pandemik semasa dan bencana, 10 Peraturan Tetap Operasi (PTO) Penyampaian Maklumat Geospatial Bencana turut disediakan meliputi wabak penyakit berjangkit, pencerobohan tanah, tanah runtuh, gangguan utiliti dan kebakaran hutan.

“Saya berharap segala inisiatif yang bakal dilaksanakan ini akan mendapat sokongan padu daripada semua pihak menyokong usahawan, memudah cara perniagaan dan merancakkan semula aktiviti ekonomi serta meningkatkan keyakinan pelabur.

“Semoga kita semua dapat berganding bahu dan bersama-sama melaksana dan menjayakan tugas dan amanah yang diberikan ini demi rakyat dan negara,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 1/9/2021

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!