Tahniah Ziyad, sabar Ziyad – Azizulhasni

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Tahniah Ziyad, sabar Ziyad”, itu kata-kata nasihat jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang kepada atlet para lontar peluru Ziyad Zolkefli, berikutan penarikan balik pingat emas Ziyad atas sebab teknikal semalam.

“Pertamanya saya ingin ucapkan jutaan tahniah kepada rakan saya Ziyad Zolkefli, di atas prestasi cemerlang memecahkan rekod dunia yang ditonjolkan di Sukan Paralimpik Tokyo,” katanya melalui laman Instagramnya.

- Advertisement -

Datuk Azizulhasni seterusnya kongsi pengalaman peritnya sendiri, yang pernah ditarik kemenangan.

“Namun saya berharap Ziyad bersabar dengan ujian yang terpaksa dihadapi sekarang ini, sudah tentu ia bukan suatu keputusan yang mudah untuk diterima. Saya benar-benar faham akan perasaan Ziyad, kerana saya sendiri pernah ditarik kemenangan pingat Emas di Sukan Komanwel New Delhi 2010 dahulu,” sambung beliau.

Datuk Azizulhasni turut menasihati Ziyad bahawa, di dalam realiti dunia sukan pelbagai perkara yang di luar jangkaan boleh berlaku.

“Kadang-kadang ia adalah kerana kesilapan kita, dan kadang-kadang pula boleh jadi kesilapan pihak lawan. Dan jangan terkejut jika pihak pengadilan juga melakukan kesilapan, kerana ia memang sentiasa berlaku di dalam dunia sukan ini. Mereka adalah manusia dan manusia memang tidak lari daripada membuat kesilapan,” kata beliau.

“Memang pahit untuk ditelan. Akan tetapi nasihat saya sebagai rakan atlet, cuba untuk terima qada’ dan qadar, jangan berputus asa dan ‘keep moving forward’,” nasihat beliau kepada Ziyad.

Datuk Azizulhasni mengakhiri ciapannya “Sudah tentu saya pun berharap agar bantahan dari pihak Malaysia akan diterima, dan Ziyad dapat pingat emas yang memang kepunyaan Ziyad itu. Semua yang berlaku adalah ketentuan Allah, dan mungkin ada hikmah besar di sebaliknya. Kami rakyat Malaysia semua tahu yang Ziyad adalah juara yang sebenar dan pingat emas itu telah dirampas secara terang-terangan,” kata beliau. – BERNAMA

- Advertisement -