Siti Noor Iasah jadi kebanggaan keluarga – suami

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Semangat juang atlet paralimpik negara, Siti Noor Iasah Mohamad Ariffin yang memberikan larian terbaik menjadi kebanggaan keluarganya meskipun terpaksa berlari dalam cuaca hujan ketika acara akhir 400m wanita T20 (kecacatan intelektual) di Sukan Paralimpik Tokyo 2020, malam tadi.

Suaminya Muhammad Hafiz Abu Bakar, 38, yang juga bekas atlet paralimpik negara itu bagaimanapun melihat terdapat beberapa faktor yang menghalang atlet kelahiran Johor itu untuk mencatatkan masa lebih baik.

- Advertisement -

“Kami sekeluarga tetap berasa bangga dengan pencapaian beliau. Kami semua berkumpul dan bersorak untuknya tadi (malam tadi). Tahniah kerana beliau sudah lakukan yang terbaik dalam keadaan pandemik dan cuaca yang tidak berapa baik. Dapat masuk ‘final’ pun kami dah bangga.

“Mungkin faktor seperti yang kita nampak hujan dan beliau berada di lorong kedua, lorong paling basah menyukarkan beliau,” katanya yang ditemui Bernama di kediamannya di Ulu Tiram, di sini malam tadi.

Muhammad Hafiz percaya isterinya boleh mencapai catatan 59 saat (s) tetapi mungkin disebabkan faktor berkenaan menjadi halangan untuk mencapai catatan masa lebih baik.

Dalam acara malam tadi, Siti Noor Iasah, 32, mencatat masa 1 minit 01.05s sekali gus berada di tempat terakhir daripada lapan pelari berbanding masa yang dicatatkannya pada saringan kedua Isnin iaitu   59.89s.

Acara itu dimenangi Breanna Clark dari Amerika Syarikat yang memecahkan rekod dunia dengan catatan 55.18s manakala perak diraih Yuliia Shuliar dari Ukraine dengan catatan masa 56.18s dan gangsa diraih Jardenia Felix Barbosa Da Silva dari Brazil dengan 57.43s.

Lima tahun lepas, ibu kepada seorang anak itu terlepas pingat gangsa apabila pelari Poland merebahkan badan di garisan penamat pada acara akhir acara yang sama di temasya Sukan Paralimpik Rio 2016. – BERNAMA