Erti ‘Merdeka’ mana pegangan anda?

- Advertisement -

BEBAS daripada penjajahan

Manusia dengan 3 fakulti utama iaitu fizikal, akal dan spiritual perlu bebas. Bebas dari sebarang ketundukan langsung atau tidak kepada cengkaman ideologi songsang. Agama merupakan sistem kefahaman yang membebaskan manusia dari perhambaan sesama manusia dan dogma.

- Advertisement -

Tidak guna jasad kita berwarganegara, kalau minda kita masih dijajah kekaguman kepada kuasa dan budaya asing:

1. Mengagumi bahasa asing lebih dari kebitaraan bahasa sendiri. Contoh: Menjawat jawatan penguasa tapi gagal berbahasa Melayu dengan baik seperti Lee Hsien Loong. 

2. Mencedok dan menyuap budaya asing dalam pertuturan dan trenda sehingga budaya bangsa sendiri jadi terasing. Contoh: Memaki dalam Bahasa Inggeris walhal banyak lagi kata makian lunak dalam bahasa ibunda.

3. Adaptasi pemodenan ke dalam budaya yang memual sehingga hilang jati diri asal. Contoh: Baju Melayu tanpa lengan dan seluar ketat. 

Bebas daripada ketaksuban

Sebagaimana agama mengajarkan kejinya Asabiyah (mengutamakan kaum atau kumpulan untuk perkara buruk), taksub pemikiran harus tidak dibiar berlingkar.

Politik yang merupakan wadah perjuangan mencatur pemerintahan, adalah sekadar wadah. Bukan hadaf. Bukan matlamat. Perbezaan wadah perlu sentiasa dirai agar kita bebas mengiktiraf, dan bebas memperbaiki.

Kerencaman mazhab amalan agama yang muktabar adalah pakej indah. Dalam dunia maklumat sepantas akal, pemahaman jitu memungkinkan luasnya takrif amalan. Raikan perbezaan itu, dan jangan terkongkong ‘kata ustaz’ yang dipegang zaman berzaman. 

Bebas daripada kebebasan tanpa batas

Kebebasan akal tanpa had itu juga satu penjajahan. Bila manusia rasa akal itu terlalu bebas meneroka melangkaui garisan syarak, maka ketika itu sebenarnya kita memperhambakan diri kepada akal dan kognitif. Hamba kepada kuasa aqli, sehingga meninggalkan pedoman naqli.

Maka lahirlah pemikiran ‘makan babi hutan’, dan ‘tuhan’ yang lahir dari getaran, sehingga mungkin akhirnya mempertikai hari pembalasan. Manusia yang dibekal manual kehidupan perlu bebas dari perhambaan sesama manusia dan akal, namun perlu terus menjadi hamba kepada Tuhan.

Begitulah takrif merdeka kalau ingin dirungkai-rungkaikan. Di sebalik bendera merah, biru, kuning dan putih itu makna yang sungguh-sungguh rinci. Kibarkanlah ia dengan kefahaman, bukan semata-mata laungan.

“Selamat Hari Merdeka”

YUSFARIZAL YUSSOFF – HARAKAHDAILY 1/9/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/1460461665/posts/10225526882906527/

- Advertisement -