Oleh SARINA ISMAIL
ALOR SETAR: Mencapai kemerdekaan negara tercinta bukan sesuatu yang mudah, namun untuk mempertahankannya lebih sukar daripada apa yang disangka.
Pesuruhjaya PAS Kedah, Senator Ahmad Yahaya berkata, pelbagai anasir negatif saban hari masuk menjajah minda dan normal kehidupan masyarakat sekarang.
“Melalui media elektronik dan laman sosial yang sukar dikawal lebih-lebih lagi sejak sekian lama negara kita mengamalkan polisi langit terbuka.
“Maka tidak hairanlah pelbagai anasir negatif terutama dari luar masuk ke minda dan merosakkan pemikiran masyarakat sekarang,” kata beliau pada satu kenyataan sempena Hari Kemerdekaan kali ke-64, hari ini.
Menurunya merdeka juga tidak mendatangkan apa-apa makna andainya ideologi komunis yang menolak kewujudan tuhan masih bebas pengaruhnya, sedangkan perkara itu ditentang generasi dahulu.
Malah bidas Ahmad, belum dikira bebas daripada belenggu penjajah sekiranya ulama yang menjadi rujukan dalam persoalan dunia dan akhirat dihina serta diperlekeh.
“Kita belum benar-benar bebas andainya hanya kerana berlainan pegangan politik dan pandangan dalam disiplin ilmu sehingga golongan ulama diperlekehkan.
“Malah apa erti perjuangan bangsa jika tonggak negara, kehormatan dan kemuliaan Raja-Raja Melayu dipersendakan secara terbuka di medan perbincangan rakyat kebiasaan,” kata beliau.
Sungguhpun begitu tambah beliau sambutan kemerdekaan memberi makna yang amat berharga bagi setiap rakyat walaupun masih dibelenggu pandemik Covid-19 yang semakin mengganas.
Justeru, ia perlu dihargai dan dihayati dengan sebaiknya selain menjadi tanggungjawab semua pihak untuk bersama-sama mengisi kemerdekaan dengan erti kata sebenar.
“Marilah bersama-sama kita mengisi kemerdekaan dengan mengukuhkan ukhuwah dan muafakat, menggandakan usaha dan meningkatkan toleransi sesama kaum yang membentuk ‘Keluarga Malaysia,’ kata beliau. – HARAKAHDAILY 31/8/2021
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!