Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF
ARAU: Rakyat Malaysia terutamanya pemimpin politik perlu menolak sebarang usaha kerjasama pihak luar sehingga boleh mengundang campur tangan kuasa asing dalam hal ehwal pentadbiran negara.
Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, tindakan itu bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah akan mengganggu gugat kedaulatan negara serta keharmonian hidup rakyat.
“Sesuai dengan tema sambutan kemerdekaan pada tahun ini Malaysia Prihatin, saya mengajak seluruh rakyat Malaysia bersama-sama memainkan peranan membantu kerajaan dalam usaha memulihkan semula negara kita.
“Malaysia Prihatin membawa pengertian seluruh rakyat Malaysia turut bersama dengan kerajaan memulihkan negara di samping memerangi penularan wabak Covid-19,” katanya ketika ditemui pada program Kibaran Jalur Gemilang Dun Sanglang di Stesen Minyak Simpang Empat di sini semalam.

Baru-baru ini bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Lef Jeneral (B) Dato’ Mohd Salleh Ismail dilapor berkata, pihak di luar negara memberi bantuan kepada pihak tertentu di negara ini.
Menurutnya terdapat maklumat risikan beberapa pemimpin politik sering berjumpa dengan pihak yang berpengaruh di luar negara.
Mohd Shukri yang juga Adun Sanglang berkata, tiada mana-mana bangsa merdeka di dunia yang mahu negaranya dijajah semula oleh kuasa asing.
“Selaku rakyat yang telah mengecapi 64 tahun kemerdekaan, kita seharusnya menolak sama sekali sebarang bentuk penjajahan ke atas tanah air.
“Penjajahan boleh berlaku dalam pelbagai bentuk, baik secara fizikal (peperangan) mahu pun bukan fizikal (ideologi, serangan pemikiran),” katanya.
Di samping itu, ujarnya lagi, rakyat Malaysia wajib mengukuhkan jati diri dan rasa cinta negara serta bersama mempertahankan kedaulatan negara daripada dijajah semula.
“Salah satu cara yang boleh kita lakukan menerusi penghayatan erti kemerdekaan dan mengibar Jalur Gemilang dengan penuh rasa syukur atas nikmat kemerdekaan,” katanya yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis. – HARAKAHDAILY 30/8/2021
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!