Oleh AZAMIN AMIN
SUDAH setahun lebih menghampiri dua, kita berada di tengah-tengah wabak menggila. Bukan sahaja negara, dunia keseluruhannya sehinggalah menjengah kepada keluarga dan batang tubuh kita.
Paling tidak, tempias dahsyatnya terkena saudara-mara, jiran, rakan sepengajian, kawan sepejabat, sahabat sekolah, guru-guru atau ramai kenalan. Bukan sedikit yang dijangkiti dan menjadi mangsa angka korban!
Ia tidak sahaja mengubah cara hidup dengan peraturan tertentu, tetapi turut mengubah fikrah dan cara fikir masyarakat terhadap sesuatu.
Emosi semakin terganggu malah menjadi ‘paranoid’ dan buruk sangka yang melampau dan menyusahkan hampir semua manusia.
Dahulunya manusia bergaduh, berperang dan bertelagah tak sudah-sudah. Kini datang pula pandemik yang belum lagi nampak kelihatan menyatukan manusia keseluruhannya, tetapi semakin memburuk dan diburukkan dengan pecah-belah dengan label-label tertentu.
Ya, dari satu sudut hikmah ia merapatkan hubungan kekeluargaan dan meningkatkan sumbangan bantuan dan tindakan susulan kepada masyarakat amnya.
Rawatan kesihatan dipergiat, kemudahan hospital, nasihat pakar semua menjurus ke arah menjaga kesihatan rakyat. Kemudian semakin mendekatkan diri kepada Allah juga satu cara hidup. Alhamdullilah.
Namun, dalam usaha itu, manusia diuji pula dengan label-label yang tidak perlu. Seperti awalnya stigma terhadap pesakit Covid-19. Kesannya kepada hubungan dengan masyarakat tiba-tiba berubah.
Daripada mula orang bersimpati, kemudian ada pula yang menjauhi. Ada yang tak suka dan ada yang takut dijangkiti. Tidak semena-mena.
Seolah-olah mereka atau orang yang dijangkiti itu adalah ‘penjenayah’ atau orang yang buat salah. Itu tidak termasuk orang yang betul-betul buat salah. Sengaja mencari penyakit. Umpama berkunjung secara senyap-senyap dan sembahyang jemaah di dalam gelap.
Pandemik juga, secara tidak langsung ‘terpaksa’ mengasing-asingkan manusia, supaya mudah dikenal pasti untuk dirawat, disaring dan dilakukan tindakan susulan. Seperti kewujudan kluster.
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pemilihan nama kluster adalah berdasarkan latar belakang kes indeks bagi kluster tersebut.
Nama kluster dipilih berdasarkan nama bangunan, taman atau jalan tempat kediaman atau tempat kerja kes indeks. Ini adalah bagi memastikan komunikasi berkesan di antara pihak-pihak yang terlibat dalam kawalan dan pengurusan kluster.
Selain itu, nama sesebuah kluster juga boleh dipilih bagi menggambarkan cara penyebaran jangkitan di antara kes indeks dan kontak rapat seperti; Kluster Auto yang menggambarkan jangkitan kluster di tempat kerja melibatkan pekerja di syarikat automotif dan Kluster Inai yang menggambarkan jangkitan kluster bermula daripada majlis berinai. Begitulah pesakit atau dari mana datangnya penyakit diberi label-label tertentu.
Itu secara ilmiah, tetapi penggunaan kluster itu juga, cuba membayangkan kumpulan-kumpulan tertentu yang semakin dibahagi-bahagikan oleh pelbagai pihak seperti media, ahli politik dan rakyat.
Ia wujud kerana ada yang melanggar peraturan dan tidak menjaga SOP bagi mengelak jangkitan pandemik.
Kemudian pandemik ini, menyebabkan secara tidak langsung masyarakat terbahagi kepada kelompok tertentu, saling benci-membenci, ejek-mengejek dan ‘anjing-menganjing’.
Seolah-olah ada kasta dan jurang tingkatan antara satu sama lain secara tiba-tiba.
Merujuk kamus, sistem kasta telah menentukan bahawa sesuatu masyarakat dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan peringkat seperti contoh kelas tertinggi ialah para Brahmin atau Brahmana, manakala kelas terendah ialah kaum pariah atau dikenali sebagai “mereka yang tidak boleh disentuh” atau dalam bahasa Inggeris untouchables.
‘Kasta’ ini merebak kepada orang masjid yang boleh mengimarahkan masjid mesti disyaratkan beberapa orang dan kebanyakkannya dikhususkan kepada AJK sahaja.
Jemaah lain, solat sahaja di rumah apatah lagi jika anda seorang pendatang diizin atau tanpa izin beragama Islam.
Demikianlah, akibat pandemik peraturan demi peraturan digubal dari masa ke semasa, sama ada semakin jelas atau bertambah baik, atau semakin keliru atau menjadi buntu tanpa hala tuju, Allah sahaja yang tahu.
Terbaru, (tidaklah terlalu baru), sudah wujud label, kluster atau kasta atau geng ‘Vaksin’ dan geng ‘Tidak Vaksin’. Geng vaksin boleh ke situ, geng tak vaksin tak boleh ke sana.
Sedangkan mereka semuanya asal bersaudara, asalnya warganegara, asalnya tinggal di bawah negara merdeka. Yang vaksin, berusaha berikhtiar dengan mengikut pandangan pemerintah dan pakar. Begitu juga tak vaksin, mereka juga berikhtiar dengan fakta-fakta yang ada, pengalaman dilalui orang lain, pendapat doktor-doktor yang menyarankan usaha alternatif berlainan.
Yang vaksin dengan hujah saintifik mereka. Yang tak vaksin pula ada antaranya sebab seperti risiko kesihatan, yang belum dapat temujanji atau yang memang mahu ikhtiar cara lain.
Tiba-tiba terpisah mereka jadi dua golongan. Saling bercakaran. Saling menghinakan. Orang ini boleh masuk kedai beli barang, orang ini tidak boleh. Ada pula yang gamak buat baju t-shirt “belum Vaksin? pergi jauh-jauh”. Subhanallah.
Apa perasaan seorang warga emas yang dinasihatkan doktor, seorang makcik yang terlalu uzur, seorang yang memang berusaha mencari ubat, seorang yang telah lama tidak panggil lagi atau seorang pesakit kanser darah tatkala menatap baju menyindir ini?
Semakin parah. Tidak semena-mena dua puak ini bermusuhan sedangkan masing-masng ada hak di bawah negara merdeka dan masing-masing masih berisiko jangkitan masih ada, kedua-duanya!
Bukan solusi yang dicari, tapi cuba untuk memusuhi dan membenci. Ini natijah pandemik, secara berdikit-dikit dan lama-kelamaan mengikis sifat kemanusiaan.
Mulut sering melaungkan, raikan perbezaan dan cari titik persamaan, tatkala diuji tuhan, semuanya jadi hilang pedoman. Punca asal tak dimarahi, yang dijangkiti atau berusaha menghindari pula dihina sana-sini. Allahurabbi.
Nukilan cebis ini, bukanlah mahu pandai menasihatkan kerana tidak mampu saya lakukan. Sekadar melahirkan rasa kecewa dan resah di dada.
Esok merupakan hari sambutan merdeka, semoga persengketaan dan perpecahan tidak kuat berantakan dan menampakkan minda dan sikap terbuka seorang warganegara Malaysia yang tercinta, saya doakan.
Apa pun jua, di penghujungnya bukanlah label, kluster atau kasta yang menjadi taruhan, namun taqwa di sisi tuhan itu sahaja menjadi bekalan dan sandaran.
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surat Al-Hujurat: ayat 13). – HARAKAHDAILY 30/8 2021