PM usah hirau kerenah pembangkang

Tuan Mohd Nor Tuan Yahya
- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU:
Kerajaan baharu di bawah Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob disaran menumpukan perhatian khusus kepada pengurusan wabak Covid-19 tanpa menghiraukan kerenah pembangkang.

Pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) menyifatkan pembangkang menggunakan segala ruang bagi menggugatkan kerajaan memandangkan majoriti kecil kerajaan sekarang.

Setiausaha Persatuan Mawaddah Kelantan, Tuan Mohd Nor Tuan Yahya berkata, pembangkang dijangka mengulangi apa yang berlaku pada era Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

- Advertisement -

Katanya, mereka akan menggunakan sepenuhnya ruang yang ada biarpun perdana menteri sudah bertukar.

“Mereka tidak akan puas hati sekadar pertukaran perdana menteri. Mereka pastinya menggunakan sepenuhnya peluang sebelum berlangsung pilihan raya umum ke-15.

“Selagi majoriti kerajaan masih kecil mereka akan merebut peluang. Jadi kami sarankan perdana menteri tidak menghiraukan kerenah pembangkang, selagi sokongan 114 ahli parlimen BN, PN dan GPS tidak berubah,” katanya di sini.

Beliau juga berharap kerajaan mengeluarkan dana khusus kepada NGO yang berlandaskan kebajikan bagi membantu rakyat yang terjejas sehingga ke peringkat akar umbi.

Menurutnya NGO bekerja tanpa ada sentimen politik bagi membolehkan rakyat yang terjejas dibantu.

“NGO boleh melaksanakan tugas dengan lebih menyeluruh kerana mereka tidak ada kepentingan politik tertentu.

“Bagaimanapun kerajaan perlu memastikan dana yang disalur melalui NGO yang sah, mempunyai akaun dan pengurusan yang cekap. Perkara itu penting bagi mengelakkan dana disalur kerajaan disalah guna,” ujarnya.

Muhammad Baihaki Othman

Bendahari Pertubuhan Kasih Kelantan, Muhammad Baihaki Othman pula berkata, gagasan Keluarga Malaysia yang diketengahkan perdana menteri boleh mewujudkan suasana perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat.

Katanya, masyarakat sekarang agak terpisah kerana fahaman politik yang berbeza.

“Melalui gagasan itu diharap pembangkang juga merebut peluang, seperti yang disebut bekas perdana menteri dengan menawarkan rentas parti politik.

“Gagasan Keluarga Malaysia merupakan pendekatan yang tuntas bagi menyatukan semua kelompok sama ada pihak kerajaan atau pembangkang dan rakyat,” ujarnya.

Oleh itu beliau berharap semua pihak menyambut baik gagasan tersebut dengan mengenepikan agenda politik sempit. – HARAKAHDAILY 30/8/2021